IPOH: Seorang wanita bersama bayinya yang berusia tiga bulan maut dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 34 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Norsyahira Mohd Fadhail, 23, dan anak lelakinya, Muhammad Rayyan Nauffal Amyroul Shah Huszaiery, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa yang dipandu suami wanita berkenaan bertembung dengan sebuah kereta jenis Mercedes.

Ketika kejadian, tiga sekeluarga itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Cameron Hihglands menuju Simpang Pulai.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 12.46 tengah hari.

"Setibanya anggota di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki tiga beranak dan sebuah Mercedes-Benz dipandu lelaki berusia 30-an.

"Operasi dijalankan segera untuk mengeluarkan pasangan suami isteri itu di mana pemandu Perodua Myvi tersepit di bahagian tempat duduk pemandu," katanya hari ini.

Menurutnya, ketika anggota tiba di lokasi, bayi berkenaan telah dibawa keluar oleh orang awam.

Katanya, bayi itu dan ibunya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala bapanya pula cedera parah.

"Mayat dua beranak itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala bapa bayi tersebut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, pemandu Mercedes-Benz cedera ringan dan diberikan rawatan awal oleh EMRS.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saiful Yazan Shahril tamat jam 2.54 petang