KUANTAN: Seorang pegawai cawangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) negeri Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua tuduhan salah guna kuasa bagi kepentingan sendiri pada Selasa.

Tertuduh Nor Jihan Musa, 37, bagaimana pun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan setelah dibaca dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Menurut keterangan kes, pada 30 Disember 2020, ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan di pejabat APAD Pahang, dengan menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan ubah syarat lesen pengendali atau permit kenderaan barangan bagi syarikat miliknya sendiri.

Manakala 31 Mac 2021, tertuduh dilokasi yang sama didakwa menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan melesenkan kenderaan mengikut surat tawaran bagi syarikat miliknya.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama mengikut Seksyen 24 akta sama, dilakukan pegawai pendakwa SPRM, Nadzirah Zahari.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Tertuduh diwakili peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa.

Mahkamah menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.