Ibu jari kanak-kanak perempuan tersepit di kaki meja

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 6, 2020 11:16 MYT
Kerja-kerja mengeluarkan jari mangsa dilakukan dengan cermat menggunakan peralatan khas. - Foto JBPM
Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun 11 bulan dari Sungai Bakap, Nibong Tebal terpaksa menahan kesakitan selepas ibu jarinya tersepit pada kaki meja di rumahnya pada Khamis.
Dalam kejadian jam 12.41 tengah hari itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menerima panggilan daripada pihak Hospital Sungai Bakap memaklumkan mengenai insiden tersebut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM berkata, anggota bomba bergegas ke hospital dan
mendapati ibu jari tangan kanan kanak-kanak perempuan itu tersepit pada sebatang kaki meja yang diperbuat daripada besi.
Kerja-kerja mengeluarkan jari mangsa dilakukan dengan cermat menggunakan peralatan khas dan bomba berjaya mengeluarkan ibu jari kanak kanak itu dalam masa 15 minit.
Kanak-kanak itu yang cedera ringan pada jari kemudiannya diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 1.09 petang.
#bomba #Hospital #JBPM #Kanak-kanak #kanak-kanak tersepit #mangsa #pusat gerakan operasi