BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas kesalahan memperdagangkan anak perempuan orang kelainan upaya (OKU) mereka bagi tujuan eksploitasi seks pada Januari dan Februari lepas.

Tertuduh seorang wanita berusia 40 tahun yang juga ibu kandung mangsa bersama suaminya berusia 63 tahun yang juga bapa tiri mangsa membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah memperdagangkan anak gadis mereka berusia 20 tahun lapan bulan iaitu  orang kelainan upaya (pembelajaran) bagi maksud eksploitasi seks.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah pangsa di Bukit Mertajam, Pulau Pinang  antara jam 6 petang hingga 10 malam pada Januari hingga 14 Februari lepas.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup, atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh juga disebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada  sebarang jaminan ditawarkan terhadap kedua- dua tertuduh namun hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 seorang dengan masing-masing seorang penjamin.

Selain itu, syarat tambahan juga dikenakan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan iaitu pada awal bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 20 April depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.