Ibu kandung, kekasih didakwa bunuh kanak-kanak lelaki tiga tahun

Bernama
Januari 5, 2022 09:13 MYT
S. Davandakumar dan M. Sutha yang merupakan ibu kandung kepada kanak-kanak itu hanya mendiamkan diri ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret. - Gambar/ Bernama
KLANG: Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Disember lepas.
M. Sutha, 26, yang merupakan ibu kandung kepada kanak-kanak itu dan S. Davandakumar, 28, hanya mendiamkan diri ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan bersama, pasangan kekasih itu secara bersama telah menyebabkan kematian K. Nithish di sebuah rumah dI Jalan Hulubalang, Taman Sentosa di sini pada 24 Dis lepas.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur'ain Madihah Zulkifli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mac depan.
Pada 28 Dis lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju di daerah itu.
-- BERNAMA
#kes bunuh anak #ibu kandung #teman lelaki #Klang