ALOR SETAR: Pelik tetapi ini berlaku apabila seekor ibu kucing yang bunting memanjat pokok setinggi 3.5 meter, terpaksa melahirkan anak di celah batang pokok pukul lima di Pekan Langgar di sini pada Khamis.

Bunyi ibu kucing didengari penduduk berdekatan bertindak menghubungi Bomba dan Penyelamat untuk menurunkan haiwan itu bersama anaknya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima panggilan jam 4 petang sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar ke lokasi yang dimaklumkan.

“Setiba di lokasi anggota mendapati ibu kucing dalam keadaan lemah dipercayai baru melahirkan tiga ekor anak.

“Tindakan anggota memasang tangga dan naik ke atas pokok dan berjaya menurunkan kesemua empat ekor kucing itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Selepas berjaya diturunkan ibu kucing bersama anaknya diserahkan kepada seorang individu yang menawarkan diri untuk memeliharanya.