Berikut adalah senarai berita pilihan pengarang Astro AWANI untuk minggu bermula 16 hingga 22 November 2015.

Antara tajuk-tajuk utama minggu lalu yang berjaya mencuri perhatian umum adalah isu Nurul Izzah Anwar yang bertemu Jacel Kiram di Filipina, pengharaman vape di 20 universiti tempatan, lawatan presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan pembunuhan mangsa culik Bernard Then.


AHAD, 22 November 2015:

Isu RM2.6 bil, Obama enggan komen


Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengaku ada membangkitkan mengenai kepentingan membanteras penyelewengan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai penyiasatan berhubung dana RM2.6 bilion dalam akaun Najib, Obama enggan memberi sebarang komen.


Nurul Izzah mungkin disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan SOSMA

Tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu Jacel Kiram menyebabkan beliau berkemungkinan disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Tegasnya, polis tetap akan memanggil Ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada minggu hadapan walaupun beliau telah memohon maaf semalam, lapor sebuah portal berita Inggeris pada Sabtu.

Semua 20 universiti awam setuju larang hisap vape di universiti

Semua 20 universiti awam bersetuju agar penggunaan vape atau rokok elektronik dan rokok diharamkan di kampus masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata keputusan itu dicapai bersama oleh Naib-naib Canselor di 20 universiti awam berkenaan yang bermesyuarat Jumaat lepas.

Beliau berkata universiti diberi kuasa autonomi dan berhak menentukan hukuman atau tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut dan kerajaan tidak akan campur tangan.


Skandal RM1.5 juta Bukit Aman: Pegawai kanan polis antara enam ditahan

Pegawai kanan polis antara enam ditahan berhubung dakwaan salah laku melibatkan lebih RM1.5 juta peruntukan membaik pulih dan menaik taraf ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata, turut ditahan, pegawai rendah polis dan kontraktor yang terlibat dengan kes berkenaan.



SABTU, 21 November 2015:

Obama luangkan masa bersama kanak-kanak kurang bernasib baik

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melawat Dignity For Children Foundation, sebuah institusi pendidikan amal bagi mangsa pelarian dan kanak-kanak miskin di bandar di Sentul Kuala Lumpur.

Mengabaikan protokol, bapa kepada dua anak itu, membongkok untuk bercakap dengan kanak-kanak di yayasan itu.


Adik cerita detik abang, tiga rakan lemas di Tasik Ara Damansara

Adik lelaki kepada seorang mangsa yang lemas di Tasik Ara Damansara menyaksikan sendiri abang dan tiga rakannya lemas ketika cuba mengambil selipar salah seorang daripada mereka yang jatuh dalam tasik itu.


Tujuh maut helikopter terhempas dalam glasier New Zealand

Enam penumpang dan seorang juruterbang maut apabila helikopter yang mereka naiki terhempas ke dalam lohong glasier di New Zealand akibat cuaca pada Sabtu, lapor AFP.

Helikopter pesiaran itu menjunam ke kawasan Fox Glacier, yang merupakan tapak pelancongan popular di pantai barat South Island, dalam keadaan cuaca mendung dan hujan lebat.


JUMAAT, 20 November 2015:

Lawatan kedua Obama ke Malaysia: Apa yang anda perlu tahu


Obama berada di Malaysia selepas beliau menghadiri mesyuarat APEC (di Manila) yang berakhir pada Khamis.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiba di Lapangan Terbang Angkatan Tentera Malaysia di Subang pada Jumaat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 - Foto Bernama

Obama tiba di Lapangan Terbang TUDM, Subang, Selangor pada kira-kira jam 3.30 petang, Jumaat. Kali pertama Obama mengadakan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur ialah pada 26 April, 2014.


Nurul Izzah harus lebih sensitif berkaitan kedaulatan negara - Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pihaknya akan merujuk isu Nurul Izzah yang bertemu Jacel Kiram kepada Jabatan Peguam Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkaitan tatacara tindakan yang boleh diambil terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.


PDRM tingkatkan keselamatan untuk Sidang Kemuncak ASEAN di KL

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meningkatkan tahap keselamatan sedia ada secara menyeluruh menjelang Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata keputusan itu dibuat berikutan beberapa serangan pengganas di Perancis, Mesir, Lubnan dan Filipina.

Perhimpunan bantah penindasan Barat dan Zionisme di Kedutaan AS

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengadakan perhimpunan bantah penindasan Barat dan Zionisme sempena kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di ibu negara.

Perhimpunan turut diadakan sebagai bantahan kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).


KHAMIS, 19 November 2015:

Belum ada pengesahan rasmi kepala dipenggal milik warga Malaysia - Zahid


Malaysia belum menerima sebarang pengesahan rasmi daripada Filipina bagi mengesahkan kepala mangsa yang dipenggal kumpulan militan Abu Sayyaf seperti dilapokan media asing adalah milik warga Malaysia, Bernard Then Ted Fen yang diculik Mei lalu.


Bunuh kerani sekolah: 10 pengguna Facebook dipanggil beri keterangan

Polis mengambil keterangan 10 pengguna laman sosial Facebook bagi mengesan dalang sebenar penyebaran berita dan gambar bersabit kes pembunuhan seorang kerani sekolah agama di Taman Setia Kasih Sungai Terap, Bukit Pasir di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata, kesemua yang dipanggil sejak Selasa adalah pengguna laman sosial berkenaan yang dikatakan berkongsi maklumat awal kes berkenaan sehingga ia menjadi viral.

PACmerajukdengan sikap segelintirpengamalmedia - Hasan

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Ariffin kesal dengan segelintir pengamal media yang melaporkan kenyataan berselorohnya ketika sidang media PAC di Parlimen.

Dalam satu kenyataan, Hasan memaklumkan rasa dukacitanya kerana usaha mewujudkan suasana mesra di kalangan pengamal media tidak dihargai segelintir petugas media.


RABU, 18 November 2015:

Wong Chen akui kesilapan letak nama Yusof Annuar pada soalan Parlimen

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen mengakui membuat kesilapan apabila menamakan pengurus Bank Deutsche, Datuk Yusof Annuar Yaacob sebagai salah seorang daripada lima yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika menghantar soalan kepada Parlimen.

Wong menjelaskan beliau sebenarnya ingin menamakan pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin.


SELASA, 17 November 2015:

Orang ramai boleh mula lawat, namakan anak panda gergasi

Zoo Negara buat pertama kalinya mempamerkan anak panda betina kepada pengunjung mulai 17 November ini.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosli Ahmat Lana berkata, anak panda gergasi itu mula dipamerkan selepas tiga bulan dikuarantin bersama ibunya, Liang Liang.

"Kita akan pamerkan anak panda itu dari pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang setiap hari mengikut keizinan ibunya buat masa tiga hingga empat minggu ini.



Nasib rakyat Malaysia yang ditawan penculik belum disahkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku pertempuran antara pihak berkuasa Filipina dengan kumpulan penculik di Pulau Jolo petang Selasa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun memaklumkan, pihaknya masih belum dapat mengesahkan nasib rakyat Malaysia yang masih menjadi tawanan penculik berkenaan.



ISNIN, 16 November 2015:

Perancis mahu darurat selama tiga bulan


Presiden Perancis, Francois Hollande mahu tempoh darurat yang diisytiharkan selepas serangan di Paris diteruskan selama tiga bulan.

Tindakan itu bakal menyaksikan persidangan iklim pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berlangsung dalam keadaan darurat dengan kawalan keselamatan lebih ketat.

Menurut laporan agensi berita AFP yang memetik sumber, Presiden Perancis itu memaklumkan bahawa beliau mahu pengisytiharan darurat diteruskan.

Seluruh dunia berkongsi kesedihan dengan insiden serangan di bandar raya Paris, Perancis pada malam Jumaat yang mengorbankan lebih daripada 120 nyawa.

Perancis bertindak balas, lancar serangan terhadap kubu IS di Syria

Pesawat pejuang Perancis mengebom kubu kuat kumpulan militan IS di Syria pada Ahad sebagai tindak balas selepas serangan terancang kumpulan itu mengorbankan 129 nyawa di Paris.

Perancis menghantar pesawat pejuangnya yang menggugurkan lebih 20 bom di kubu kuat IS di Raqa, sekali gus mengisyaratkan tekad kerajaannya menentang kumpulan itu.

Kementerian Pertahanan Perancis memaklumkan, serangan itu memusnahkan pusat kawalan IS, pusat pengambilan ahli baru, depot senjata serta kem latihan 'pengganas'.