Antara tajuk-tajuk utama minggu lalu termasuk dilema pekerja industri minyak, Zahid cabar anak muda bekerja dalam sektor 3D, setahun pemergian Tok Guru, dan pengusaha restoran nasi kandar ditembak mati di Pulau Pinang.
Isnin, 8 Feb: Industri minyak & gas: 'Apa akan terjadi jika saya dibuang kerja?'
Penyusutan harga minyak mentah global menjadi idaman setiap pengguna. Namun begitu, dalam kegembiraan pengguna umum tentang situasi tersebut, ada derita yang ditanggung oleh pihak lain gara-gara kejatuhan harga emas hitam itu.
Astro AWANI menjejaki beberapa individu dalam sektor industri minyak dan gas di Labuan untuk mereka kongsikan tentang kejayaan masa lalu, keperitan situasi semasa dan harapan masa depan.
Selasa: 9 Feb: Masalah teknikal, lebih 200 penumpang pesawat Rayani Air terkandas di Langkawi
Lebih 200 penumpang pesawat Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selepas penerbangan mereka dibatalkan berikutan pesawat yang hendak digunakan mengalami masalah teknikal.
Penerbangan RN180 menggunakan pesawat Boeing 737 yang dijadualkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 11.10 pagi ini tidak dibenarkan berlepas selepas kerja-kerja untuk mengatasi masalah itu belum dapat diselesaikan.
Berita berkaitan: Pesawat Malaysia Airlines Berhad bantu Rayani Air bawa pulang penumpang terkandas
Rabu, 10 Feb: Awasi kanak-kanak yang memakai kasut getah ketika menggunakan eskalator
Pemakaian sandal atau kasut getah yang lembut oleh kanak-kanak perlu diberi perhatian dan diawasi oleh penjaga kerana ia lebih mudah ditarik atau tersangkut pada eskalator yang sedang bergerak.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kenyataannya menegaskan bahawa tanggungjawab bagi memastikan keselamatan ketika menggunakan eskalator terletak pada pemunya dan pengguna.
Khamis, 11 Feb: Pengusaha restoran nasi kandar mati ditembak di George Town
Seorang pengusaha restoran nasi kandar dan pusat mencuci kenderaan ditembak mati di Jalan Dato Keramat, di sini awal pagi Khamis.
Mangsa, Syed Amen Jainul Abidin, 46 tahun, ditembak dari jarak dekat ketika berada di dalam kereta Mercedes Benz miliknya yang berhenti di depan sebuah pusat pameran motosikal berkuasa tinggi Ducati, kira-kira jam 3.30 pagi.
Berita berkaitan:
Maut ditembak, peniaga nasi kandar sudah ramal nasib yang bakal menimpa
Syed Amen pernah diugut kerana lantang bersuara - Isteri
Jumaat, 12 Feb: Setahun pemergian Tok Guru: 5 mutiara kata dari Nik Aziz
Malam Jumaat 12 Februari 2015, jam 9.40 malam. Itu janji yang telah 'dipersetujui' oleh agamawan, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Sang Pencipta, untuk pergi menghadapNya.
Genap setahun pemergian beliau, kesedihan masih dirasai. Namun ilmu dan kebijaksanaannya, terutamanya mutiara kata yang menyentuh perihal agama, dikenang dan akan terus diingati.
Sabtu, 13 Feb: Harap rakyat Malaysia terima pelarian Syria - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap rakyat Malaysia dapat menerima kehadiran pelarian Syria yang akan ditempatkan serta diberi pekerjaan sementara di negara ini.
Menurutnya, mereka akan memulakan kehidupan baru sementara di negara ini sebelum pulang ke negara asal mereka.
Ahad, 14 Feb: Ahmad Zahid cabar anak muda Malaysia kerja 3D jika tolak kemasukan pekerja asing
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar belia dan anak muda Malaysia untuk bekerja dalam sektor 'Dirty, Difficult and Dangerous' atau 3D jika mereka menolak kemasukan pekerja asing ke negara ini.
Tegasnya, jika perkara itu mampu dilakukan, Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja asing termasuk warga Bangladesh.
Berita berkaitan: [UNDIAN] Mahukah anak muda Malaysia bekerja dalam sektor '3D'?