BERIKUT adalah senarai berita pilihan pengarang Astro AWANI untuk minggu bermula 9 Mei hingga 15 Mei 2016.

Antara tajuk-tajuk utama minggu lalu termasuk perlawanan bola sepak antara Manchester United dan Bournemouth dibatalkan, JDT menang Piala FA Malaysia, banjir kilat di Kuala Lumpur dan penemuan mayat terakhir nahas helikopter Sarawak.

AHAD, 15 MEI: Stadium Old Trafford dikosongkan susulan penemuan bungkusan mencurigakan

Polis mengarahkan pasukan Manchester United membatalkan perlawanan terakhir Liga Perdana mereka menentang Bournemouth pada Ahad susulan penemuan bungkusan yang diragui kandungannya di Old Trafford.

Stadium Old Trafford dikosongkan susulan penemuan bungkusan dipercayai mengandungi bahan letupan pada Ahad. - Foto AFP
Ketua Wanita UMNO Bagan Datoh meninggal dunia

Aminah Abdul Manaf, 52, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada pukul 6 petang.

Allahyarham dikatakan mendapatkan rawatan di IJN sejak bulan lepas. - Facebook/Parlimen Bagan Datok
SABTU, 14 MEI: JDT raih trofi kedua selepas muncul juara Piala FA

Johor Darul Ta'zim meraih trofi kedua musim ini selepas muncul juara Piala FA menerusi kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC pada aksi final di Stadium Shah Alam.

Pemain JDT, Jorge Rolandopereyra Diaz (kiri) bersama rakan sepasukannya, Juan Marin Lucero meraikan kejayaan selepas pasukan JTD menjuarai Piala FA 2016 pada Sabtu. - fotoBERNAMA
Penstrukturan semula Kabinet dalam masa terdekat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penstrukturan semula jemaah menteri Persekutuan akan dibuat selepas peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan pemergian timbalannya Allahyarham Datuk Noriah Kasnon.

Pada masa yang sama, Najib juga berkata beliau telah menerima peletakan jawatan oleh Uggah. - fotoBERNAMA/Fail
JUMAAT, 13 MEI: 'Tiada DNA manusia pada anak kambing mirip wajah manusia'

Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan tiada DNA manusia pada anak kambing yang dikatakan berwajah seperti manusia di Kota Tinggi, Johor seperti diviralkan di media sosial baru-baru ini.

Foto anak kambing yang dikatakan berwajah seperti manusia. - Facebook/Friends of BN
KHAMIS, 12 MEI: Banjir kilat tenggelamkan empat jalan utama di KL

Hujan lebat yang melanda ibu negara menyebabkan banjir kilat di Jalan Bangsar, Jalan Semantan, Jalan Pantai Baharu dan Jalan Pudu.

Gambar fail menunjukkan paras air naik di pintu masuk ke University Malaya di Bangsar Khamis lalu.
RABU, 11 MEI: "Telefon saya diintip, SB pantau pergerakan saya" - TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa telefon baginda "dicuri dengar" serta pergerakannya sedang "dipantau" oleh pasukan Special Branch Bukit Aman.


SELASA, 10 MEI: Alunan doa Yasin detik syahdu sebelum Ustazah Halimah rebah, meninggal dunia

Seorang guru Al-Quran meninggal dunia ketika menyertai Pertandingan Hafazan Doa Yasin sempena program Israk Mikraj di Surau Al-Hikmah, Kampung Kemboja di Changlun, Kedah.


ISNIN, 9 MEI: Mayat keenam mangsa tragedi helikopter Sarawak ditemui

Mayat juruterbang helikopter warga Filipina, Rudolf Rex Ragas, dijumpai oleh pasukan SAR dalam keadaan terapung pada jam 10.15 pagi kira-kira 5.5 kilometer dari Jeti Feri Triso, Lingga.

Mayat Rudolf Rex Ragas dibawa oleh pasukan SAR pada 9 Mei. - Astro AWANI/Shahir Omar