SHAH ALAM: Platform digital Idea Bina Negara (IBN) yang membolehkan golongan belia mengemukakan idea dan inspirasi ke arah pembangunan negara telah menerima lebih 12,000 pandangan daripada anak muda seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau amat berbesar hati kerana penyumbang idea terbesar adalah dalam kalangan belia berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun iaitu sebanyak 57.9 peratus.

"Dalam usaha memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia, kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap belia dan anak muda dengan memastikan luahan suara mereka sentiasa didengari dan diberikan perhatian.

"Ini kerana anak-anak muda mempunyai idealisme yang sangat penting kerana mereka didedahkan idea-idea yang lebih progresif yang diperoleh melalui input internet sama ada dari dalam mahupun luar negara," katanya pada Majlis Perasmian IBN 2022 di Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata data dan maklumat yang diperoleh menerusi IBN itu akan membantu kerajaan dalam menyediakan inisiatif dan insentif yang bersesuaian untuk golongan anak muda.

Beliau berkata kerajaan sememangnya memerlukan sokongan padu golongan belia dan anak muda untuk membangunkan Malaysia dan beliau percaya inisiatif platform digital IBN telah membuka ruang kepada seluruh anak muda untuk menyalurkan idea dan menyuarakan permasalahan kepada kerajaan.

"Saya yakin, dengan mengambil cakna terhadap suara, solusi, dan aspirasi anak muda kepada kerajaan, kita mampu untuk bersama-sama menjayakan agenda besar pemulihan negara," kata beliau.

Ismail Sabri berkata analisis teks menggunakan teknologi kepintaran buatan menunjukkan idea yang diajukan melalui aplikasi IBN bersifat positif dan membina dengan sebanyak 12 peratus anak muda menyuarakan tentang isu politik dengan menyentuh aspek kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan amat prihatin terhadap isu peluang pekerjaan yang menghantui golongan anak muda masa kini dengan 46.2 peratus hanya memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 sebulan.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk perantis lepasan sekolah dan graduan yang membenarkan majikan untuk menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan.

Beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta yang disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank khusus untuk golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

-- BERNAMA