Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenalpasti ketua panglima pengganas yang telah ditahan semalam di Semporna adalah Datu Amir Baha Hushin Kiram.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengesahkan identitinya kepada pemberita dalam sidang media di Felda Sahabat.

“Ini adalah lelaki yang kita tangkap di kawasan paya di Semporna bersama isterinya semalam” katanya kepada pemberita.

Selain Datu dan isterinya, polis juga berjaya menangkap seorang warga tempatan dan isteri kerana membekalkan makanan, minuman, perubatan, pengangkutan, dan tempat tinggal kepada kumpulan pengganas Sulu.

Khalid berkata sehinga hari ini, sebanyak 416 orang telah ditahan termasuk 110 orang ditahan di bawah akta keselamatan (langkah-langkah khas) (SOSMA) 2012.

Sementara itu, Khalid berkata para pengundi di Lahad Datu boleh mengundi seperti biasa di Pilihan Raya Umum ke -13 nanti.