SHAH ALAM: KDEB Waste Management (KDEBWM) telah mengenal pasti subkontraktor serta pemandu lori yang menyebabkan kemalangan membabitkan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki di Lebuh raya Damansara-Puchong menghala ke Putrajaya pada Rabu.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, insiden berlaku apabila pengikat kanvas pada lori telah terputus dan menghalang penunggang serta pembonceng motosikal tersebut sehingga hilang kawalan dan kemalangan.

Menurutnya, pihak subkontraktor dan pemandu lori tersebut akan mengemukakan laporan insiden berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada Jumaat.

"Pihak kami menyerahkan sepenuhnya segala siasatan lanjut serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang kes ini kepada pihak polis.

"Kami amat memandang serius insiden ini dan akan mengambil tegas ke atas subkontraktor kami yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuk menamatkan kontrak perkhidmatan mereka sekiranya perlu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Selain itu katanya, identiti kedua-dua mangsa juga telah dikenal pasti dan telah dilawati untuk tindakan lanjut.

Rakaman video memaparkan kejadian di Kilometer 33.5 Jalan Puchong/Cyberajaya/Dengkil berhampiran susur menghala ke arah Kajang.

"Segala urusan perubatan dan ganti rugi baik pulih kenderaan juga telah diselesaikan dan kedua-dua mangsa kini sedang menjalani rawatan.

"KDEBWM merakamkan terima kasih di atas keprihatinan orang awam yang telah melaporkan insiden kemalangan tersebut.

"Kami akan terus komited memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal oleh pihak kami mengikut SOP yang ditetapkan agar insiden ini tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Pada Rabu, tular rakaman video berdurasi 45 saat menunjukkan kanvas lori melayang dan terbang ke arah motosikal dinaiki dua lelaki sebelum hilang kawalan dan melanggar tayar sebuah treler di lorong kiri.

Kedua-dua mangsa terselamat dan dilihat segera bangun selepas kemalangan bagi mengelak dilanggar kenderaan lain.


Tular | Kanvas melayang punca motosikal kemalangan

*Berita asal di Sinar Harian