Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron mahu tajuk syarahan Dr Zakir Naik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka di sini Ahad ini ditukar kepada 'Islamic Problems and Solutions to Humanity'.

Idris berkata tajuk itu dilihat lebih sesuai dalam merungkai permasalahan kehidupan manusia di dunia kini dan Islam sebagai penyelesaian kepada segala permasalahan tersebut.

"Kita buat topik di mana orang ramai mahu mendengarnya dan mendapat banyak ilmu serta manfaat yang membolehkan kemanusiaan itu menjadi lebih baik melalui Islam.


Syarahan itu sebelum ini dibatalkan memandangkan tajuknya yang tidak sesuai.

Bagaimanapun semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan membenarkan tokoh pendakwah dari India itu meneruskan syarahannya.

Namun Dr Zakir perlu menukar tajuk syarahannya.

Penganjur mengumumkan tajuk baharu, 'Women's Rights in Islam'.

Tetapi Idris mahukan tajuk yang lebih sesuai.

"Saya mahu orang ramai datang dan mendengar apa yang akan diperkatakan oleh Dr Zakir Naik mengenai tajuk (baharu) itu.

"Datang beramai-ramai dan fahami apa yang disampaikan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.