KUALA LUMPUR: Kepimpinan dan ahli UMNO tidak boleh menafikan jasa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada parti itu, kata Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh.

Ahli Parlimen Besut yang juga Pengerusi Felda berkata, beliau mengambil keputusan untuk menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin demi kebaikan rakyat, serta tidak banyak berpolitik.

Jelasnya lagi, kepimpinan dan seluruh ahli UMNO perlu menumpukan masa membantu rakyat, mempertingkatkan kadar vaksinasi, serta bersama-sama memulihkan ekonomi negara.

“Jangan kita nafikan Tan Sri Muhyiddin telah banyak membantu UMNO. Dahulu di bawah PH (Pakatan Harapan), kita UMNO adalah pembangkang. Sekarang kita berada bersama-sama dalam kerajaan.

“Pemimpin UMNO telah diberi pengiktirafan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilantik Menteri-menteri Kanan Kerajaan. Kebolehan pemimpin UMNO inilah menyebabkan ramai ahli UMNO bersyukur dan turut sama dibantu kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 3 Ogos lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BACA: MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM

BACA: UMNO cabar Kerajaan buktikan sokongan majoriti di Parlimen segera - Ahmad Zahid

BACA: Segerakan usul di Dewan Rakyat, sebelum semakin ramai menjadi 'katak' - Ahmad Zahid


PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini


Kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti - Zahid Hamidi

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

Bagaimanapun pada 4 Ogos, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menegaskan, beliau masih mempunyai sokongan majoriti, dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Jelas Perdana Menteri lagi, Agong telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.

Mengulas lanjut, Idris yang juga bekas Menteri Persekutuan berkata, Ahmad Zahid sendiri sebelum ini menyatakan Ahli-ahli Parlimen UMNO bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di Parlimen.

“Sayangnya saya tidak nampak ‘game plan’ di mana YAB Presiden UMNO hendak membawa kita pada ketika kesihatan rakyat masih diancam. Kita diarah menolak kerajaan sedia ada dan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Selepas itu ke mana kita?

“Adakah kita hendak kembali menjadi pembangkang? Membiarkan pemimpin Bukan Melayu mentadbir Agama Islam? Atau adakah kita hendak menyokong Anwar Ibrahim sebagaimana kita maklum akan hubungan akrab kedua-duanya?” soalnya lagi.

Selain itu, Idris mendakwa, Ahmad Zahid telah melakukan keputusan yang bertentangan dengan Perhimpunan Agung UMNO iaitu untuk menolak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa yang sama, kata Idris lagi, Ahmad Zahid secara diam-diam menandatangani surat akuan bersumpah menyokong ‘cikgunya’ itu.

“Oleh itulah maka kita perlu lebih berhati-hati di dalam membuat keputusan demi kelangsungan masa depan UMNO.

“Saya berpendapat, masa depan UMNO akan menjadi lebih baik jika kita bersama-sama dengan kerajaan sekarang di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Kerajaan ini tidak maksum, namun bagi mengelak mudarat yang lebih besar, ia adalah pilihan yang lebih baik,” katanya lagi.