HAT YAI: Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam industri penternakan dan pembekalan ayam pedaging kepada Malaysia.

MoU itu ditandatangani Pengerusi IKIAM Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Songkhla Zakaria Soleh.

Bercakap kepada media Malaysia selepas menandatangani MoU itu di sini, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata kira-kira 80,000 ayam tersedia untuk dibekalkan kepada rakyat Malaysia melalui usaha sama berkenaan.

"...kalau terlebih kuota, kita minta kerajaan benarkan kita untuk eksport terutama ke Singapura. Sekarang ini masih tertutup dan di samping itu juga, kita memerlukan sedikit masa... sebab kita nak buka kilang penyembelihan ayam, membungkus sejuk bekukan ayam ini," katanya.

Turut hadir Setiausaha Kehormat IKIAM Razali Latif dan Ketua Bahagian Akademi dan Perhubungan Luar Majlis Agama Islam Songkhla Abdul Halim Lateh.

Zahidi berkata usaha sama itu juga satu daripada inisiatif untuk menawarkan ayam pada harga murah kepada golongan asnaf dan B40 dalam usaha membantu mereka mengurangkan beban kos sara hidup.

Beliau berkata kilang penyembelihan ayam yang dirancang dibina di Padang Besar sebelah Thailand melalui usaha sama berkenaan dilihat mampu menjimatkan kos penyembelihan dan pembungkusan ayam sekali gus ayam berkenaan boleh dijual pada harga lebih rendah kepada pengguna.

"Sebelum nak datang memeterai MoU ini, pihak saya sudah berbincang dengan pihak Majlis Agama Islam di Malaysia dan Pusat Zakat, dan mereka mengalu-alukan dengan kerjasama ini yang dapat menawarkan harga ayam yang murah," katanya.

Menurut Zahidi, selain rakyat Malaysia, kerjasama berkenaan juga dapat memanfaatkan umat Islam di Selatan Thailand dari segi ekonomi mereka.

-- BERNAMA