ARAB SPRING; seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia yang tidak ada musim bernama ‘spring’ juga berminat dengannya. Musim yang dibandingkan dengan perkembangan politik dunia Arab yang diharapkan berbuah yang lazat dan menyegarkan, tiba-tiba buahnya berulat dan beracun, membunuh mangsanya lebih dahsyat daripada wabak penyakit biasa yang meragut mangsanya tanpa batas. Banyak darah yang mengalir, korban yang gugur, menjadi pelarian melarikan diri dan yang menunggu giliran.
Sebenarnya peristiwa seperti ini pernah berlaku di awal abad yang lalu, mereka namakan Revolusi Agung Bangsa Arab pada tahun 1916. Kini telah berlalu seratus tahun peristiwanya. Apakah iktibarnya?
Revolusi Arab Spring yang pertama berlaku apabila Syarif Husain, Raja Wilayah Hijaz (Mekah, Madinah, Ta’if, Jeddah dan sekitarnya) di bawah Khilafah Uthmaniyyah memulakan tembakan pertama di Mekah sebelum Subuh pada tanggal 9 Syaaban 1334H bersamaan 2 Jun 1916, mengisytiharkanThaurah ‘Arabiyyah Kubra (Revolusi Agung Bangsa Arab) terhadap kerajaan Turki Uthmaniyyah yang berlaku zalim kerana mengalami kelemahan di era keuzurannya menyertai Perang Dunia Pertama dan dikepung oleh Eropah dan Rusia.
Revolusi dicetuskan dengan penuh semangat bersama dokongan negara musuh yang diketuai British menyokong supaya Arab diselamatkan daripada Turki dan menukar Khalifah Islam kepada bangsa Arab, dan calonnya ialah Syarif Husain yang berpusat di Mekah (dikira pilihan yang dapat menarik Islam dan Arab).
Golongan Nasionalis Arab dan kumpulan Islam yang buta politik menyokong dengan penuh semangat bersama senjata yang dibekalkan daripada negara yang sedang berperang menentang Turki Uthmaniyyah di Eropah, seterusnya dihantar penasihat mereka seperti Lawrence dan lain-lain.
Akhinya gerakan ini berjaya menjatuhkan Khilafah Turki Uthmaniyyah. Tiba-tiba, Raja Abdul Aziz Ibnu Saud bersama gerakan Wahabinya (Salafi) akhirnya sekadar menjadi raja negara baru yang dinamakan Arab Saudi setelah berjaya menggulingkan Ibnu Rasyid, pemerintah Riyadh yang bernaung di bawah Khilafah Uthmaniyyah yang tidak bermazhab Wahabi. Seterusnya, Syarif Husain dan anak-anaknya dihalau oleh Ibnu Saud daripada negara Hijaz yang dihapuskan, kerana pihak British yang diharapkannya tidak membantunya lagi bagi menentang Ibnu Saud walaupun dia mencabar menarik diri daripada menjadi calon Khalifah yang dijanjikan sokongannya. Lalu putera-putera Syarif Husain didokong menjadi raja-raja. Putera Faisal dilantik menjadi Raja Syria dan Putera Abdullah menjadi Raja Iraq.
Apabila pihak Perancis yang mendapat bahagian Syria dan Lubnan dalam Perjanjian Sykes-Picot menolaknya, maka Faisal dipindah menjadi Raja Iraq, lalu dibentuk negara baru bernama Jordan bagi dilantik Abdullah bin Syarif Husin menjadi rajanya dengan mengambil sebahagian daripada Syria dan Tebing Barat.
Adapun Israel wajib diwujudkan mengikut Perjanjian Balfour yang berasingan daripada Arab. Pemimpin-pemimpin lain yang bersama menentang Uthmaniyyah mendapat bahagian masing-masing. Syiah Iran diperkasakan Syahnya menjadi Syahan Syah negara Iran, Yaman diteruskan Imam (raja) daripada kalangan Syiah Zaidiyyah. Agendanya ialah negara yang bersatu kepada berbagai negara qabilah, mazhab dan ideologi yang menjadi bom jangka meneruskan pecah dan perintah.
Adapun Arab Spring mutakhir terkini bermula di akhir tahun 2010, apabila pemuda bernama Mohamed Bouazizi di Tunisia membakar diri kerana menganggur. Akhirnya mencetuskan kebangkitan Arab menentang diktator di negara masing-masing di atas nama demokrasi dan pilihanraya bersih, menentang penyelewengan rasuah dan lain-lain, dengan sokongan daripada negara-negara besar yang mendokongnya. Arab Spring berakhir dengan kejatuhan Presiden Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman, seterusnya terbakar di Syria dan huru-hara di kebanyakan negara Arab.
Muhasabah yang bijak, ikhlas dan adil hendaklah difikirkan, mengapa gelombang boleh berlaku seperti berulang dengan natijah yang memusnahkan dan boleh menenggelamkan mangsanya ke dalam bumi sejarah. Contoh masih paling panas ialah Syria yang menjadi medan perlumbaan paling sengit dalam kalangan kuasa besar perlu difahami.
Adakah negara Barat yang mahu menjatuhkan Basyar Asad itu sangat ikhlas bersama kumpulan Islam yang sedang bersemangat mengisytiharkan jihad di bumi Syria sangat ikhlas membantu jihadnya?
Begitu juga negara yang membantu sengitnya peperangan, ditambah pula dengan Yaman, adakah kerana Sunni dan Syiahnya atau demokrasi dan adilnya?
Sebenarnya negara yang berusaha menjatuhkan Basyar Asad juga tidak akan memberi kemenangan kepada Islam yang dikira dapat menegakkan negara Islam yang sebenar, mengembalikan negara Islam yang berdaulat dan adil serta menjadi ancaman kepada mereka, khususnya Zionis-Israel yang menguasai politik negara kuasa besar, lebih khususnya Amerika dan sekutunya yang bernafsu menjadi kuasa besar tunggal.
Israel juga bercita-cita menjadi pusat kuasa besar dunia selepasnya. Semua calon ketua negara tersebut, terkini di US berlumba untuk mendapat sokongan Zionis dalam setiap Pilihanraya Umum.
Maka negara Arab yang gelombang Arab Springnya berjaya menjatuhkan kerajaan masing-masing, menjadikannya lebih huru-hara daripada kezaliman kerajaan sebelumnya serta mengalami kesukaran huru-hara politik, keselamatan dan seluruh kehidupan yang lebih parah sehingga memaksa yang dapat berlari terpaksa melarikan diri menjadi pelarian yang hina, meninggalkan negara yang kaya hasil buminya, menjadi peminta sedekah di negara lain, sehingga negara Arab sendiri tidak menerima sahabat seagama dan sebangsa dengan mereka. Atau yang berada di dalam tanah airnya pula berperang sesama sendiri atau menunggu kematian, kelaparan dan wabak.
Hubungan kerajaan dan rakyatnya dengan negara Zionis juga menjadi ukuran menerima nasib daripada Arab Spring dan suhu kepanasannya. Mana-mana negara yang mengiktiraf negara haram Israel serta mengadakan segala hubugan di antara kerajaan dan rakyat adalah paling selamat. Taraf keduanya ialah negara yang mengadakan hubungan asmara atau hubungan secara rahsia dengan Israel juga selamat.
Adapun negara yang menolak Israel atau gelombang rakyatnya menolak Israel secara terbuka, atau tidak menerima hubungan dan perjanjian damai dengan negara haram itu pasti menerima nasibnya ditumbangkan.
Iran negara jiran bukan Arab di bawah Syahan Syahnya dahulu juga menerima tempiasnya, ketika dianggap negara Islam sahabat yang akrab kerana hubungan yang semangat akrab dengan negara Israel dan Barat, maka aman tanpa ganguan dapat menunaikan haji paling ramai jumlahnya. Ada pun Iran kini, yang dinamakan Republik Islam selepas Revolusi Islamnya dianggap musuh yang sesat bahkan ada yang menamakannya Majusi selepas memutuskan hubungan dengan Israel, serta membuat persediaan menghadapai serangan Israel kerana mengisytiharkannya (Israel) negara haram, walaupun mengajak negara Arab dan Islam bersama menentang Israel itu. Rakyat Iran diharamkan hajinya ke Makkah, hanya layak menyertai musabaqah bacaan Al-Quran dan anggota OIC sahaja.
Kini buah yang dihasilkan daripada Arab Spring lebih meloyakan akal dan mungkin memabukkan fikiran yang waras, seterusnya boleh mematikan jati diri Ummah. Banyak negara yang terlibat mencetuskan keganasan sama ada memberi kemudahan senjata, menghantar pejuang dan duit yang dibelanjakan kerana membunuh di atas nama menegakkan kebenaran. Ada yang melakukan secara terbuka, ada yang membaling batu sembunyi tangan.
Pihak media pula mencelarukan maklumat dan kefahaman dalam media baru tanpa sempadan, sama ada menyebarkan kebenaran atau pembohongan ke seluruh ufuk dunia. Lebih parah lagi, sekiranya benar maklumat yang dipetik secara rakaman bergambar adanya penglibatan Israel secara langsung memberi kemudahan bekalan dan rawatan kepada perjuangan yang dinamakan jihad. Inilah kalau dilihat daripada sudut politik.
Ada pun sudut agama paling hangat, dikeluarkan fatwa daripada kalangan ulama di negara masing-masing, hujahnya ialah Mazhab Sunni yang wajib melawan Syiah dan di pihak Syiah pula wajib melawan Sunni. Ada juga yang membawa isu takfiri (mengkafirkan) kerana adanya perkara khurafat yang dikaitkan dengan aqidah atau terhadap yang tidak peduli agama pula kerana sekular ideologinya menolak Syariat Allah.
Ada pun ummah yang sudah lama tenggelam di dalam kejahilannya walaupun beramal dengan agama mengikut mazhab masing-masing atau buta agama sejak zaman penjajah, walaupun semuanya masih bersembahyang dan mengerjakan Rukun Islam yang asasi, tetapi masih banyak melakukan perkara khurafat yang tidak ada dalam semua mazhab.
Semua kumpulan ini berada dalam kalangan Sunni dan Syiah, kini menjadi sasaran senjata hukum menghukum. Di sana pula ada kalangan ulama’ rasmi atau ulama’ jadian yang bangkit mendengar gendang perang Sunni dan Syiah yang dipalu oleh pemimpin kerajaan di negara masing-masing yang tidak ada mazhabnya Sunni dan Syiah. Para pemimpin itu agamanya di musim perayaan rasmi atau apabila bersama rakyat. Apabila bersama-sama syaitannya di dalam negara atau luar negara agamanya di belakang. Semuannya menjadi bahan bakar yang sedang dinyalakan.
Perbezaan Sunni dan Syiah di zaman dahulu menjadikan semuanya bersatu bersama Khulafa’ Rasyidin dan mengutuk pembunuh Umar (mertua Rasulullah S.A.W.), Uthman (menantu Rasulullah S.A.W), Ali (keluarga terdekat dan menantunya pula), Hasan dan Husain (kedua-duanya cucu Rasulullah S.A.W) Radhiyallahu ‘Anhum.
Para ulama’ kedua belah pihak di zaman awal selepasnya bersaudara dan bersama. Memulakan semuanya adalah para syuhada yang mulia dan bersama menentang pemerintah zalim di zaman masing-masing di era Umayyah dan Abbasiyyah. Menjadi sepakat Ulama’ Sunni dan Syiah bersedih dan mengutuk pembunuhan Husain, cucu kesayangan Rasulullah S.A.W. yang disebut Penghulu Pemuda di Syurga yang dibunuh syahid di Karbala.
Imam Abu Hanifah di penjara kerana bersama Imam Jaafar al-Sadiq. Imam Syafie diheret bersama Imam Zaid kerana menentang kezaliman khalifah zamannya, menunjukkan betapa Sunni dan Syiah boleh bersatu dengan satu Al-Quran dan satu Sunnah Rasul serta satu kiblatnya ke arah Kaabah dalam semua urusan.
Barangkali, zaman terkini sudah berubah, kiblat sembahyangnya lain dan kiblat politik dan ekonominya lain pula.
Di zaman awal, walaupun adanya kecelaruan pemikiran dan ada yang merosakkan selepasnya, namun tetap hanya menjadi masalah dalaman umat Islam yang tidak menghalang dakwah Islam ke seluruh pelosok dunia. Bersatu menentang musuh bersama, melupakan perbezaan kaum dan mazhab, bahkan ada negeri yang bergilir mazhabnya, walaupun salah dan sesat, namun mereka tidak mengizinkan campur tangan pihak luar, jauh sekali menjemputnya.
Arab Spring Pertama (Revolusi Arab 1916) yang menentang kezaliman Turki, menjemput musuh menjadi tetamu yang dikatakan ikhlas menentang kezaliman, menyokong pertukaran Khalifah sehingga menerima bala tentera dan membina pengkalan. Akhirnya, melenyapkan Khilafah dan menjadikan dunia Arab berkecai walaupun tenggelam dalam kekayaan dan kemewahan di bawah bayangan Kaabah, bermakna kini genap seratus tahun pada tahun ini (2016).
Apakah Arab Spring kali kedua ini yang menentang kezaliman sesama Arab akan menimbulkan apa-apa yang besar kepada dunia Islam setelah ditimpa bencana Arab Spring yang tidak menjadi dahulu?
Di Malaysia tiada musim bernama ‘spring’, yang ada hanya musim hujan dan kemarau. Maka jangan ciptakan musim yang tidak ada disini. Tunggu dan beristiqamah bersama Islam, nescaya selamat, adapun tanpa Islamnya menjadi laknat.
Inilah Penyelesaian Kita
*Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang adalah Presiden PAS
**Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Abdul Hadi Awang
Wed Oct 12 2016
Antara rakyat Bahrain di bandar Manama yang mengadakan bantahan pada Februari tahun ini bagi memperingati ulang tahun ke lima Arab Spring. Foto AFP / MOHAMMED AL-SHAIKH
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, pada Sabtu.
BN dan UMNO tetap rakan setia politik dengan PH
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan kekal setia sebagai rakan politik bersama Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas beliau, BN dan juga UMNO juga tidak akan termakan dengan ajakan serta pujukan daripada mana-mana pihak untuk meninggalkan gabungan sedia ada.
Saya dinasihatkan kekal sebagai MB Selangor - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan, termasuk merangka Rancangan Selangor Kedua yang dijangka siap pada 2026.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 14 Disember 2024.
10 Berita Pilihan - (14 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, hari ini.
Checkmate! remaja tewaskan juara bertahan dari China
Seorang remaja berusia 18 tahun dari India, Gukesh Dommaraju dinobatkan juara dunia catur termuda selepas menundukkan lawannya dari China yang juga juara bertahan, Ding Liren. Dommaraju menewaskan Liren dalam satu perlawanan dramatik yang berlansung di Singapura.
Saya dinasihat kekal sebagai MB sehingga akhir penggal - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan.
Kematian Morsi: Malaysia tunggu laporan teliti daripada Mesir - TPM
Malaysia terima kenyataan Pendakwa Raya Mesir, bagaimanapun bimbang dengan pelbagai laporan mengenai layanan yang diterima Morsi sebelum kematiannya.