KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dan tidak terlibat secara langsung dalam rundingan damai antara Afghanistan dan Taliban, termasuk yang berlangsung di Doha baru-baru ini.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, negara sentiasa berusaha mengadakan perbincangan dengan negara yang terlibat dalam rundingan tersebut.

Pada masa yang sama, beliau menambah tokoh-tokoh tertentu dalam negara ini juga mempunyai hubungan tidak rasmi dengan kumpulan-kumpulan yang berada di Afghanistan.

"Sebahagian ahli Parlimen yang berada di sini juga ada hubungan yang baik dengan mereka, ini jangan disalah faham. Bukan mereka berhubung dengan Taliban tetapi mereka berhubung dengan pihak-pihak lain, ini termasuk Yang Berhormat Marang, Kota Raja dan Port Dickson.

"Ini ada hubungan dengan pelbagai kumpulan sebab kita tahu Afghanistan ada banyak kumpulan sejak lama mereka tertekan dulu oleh Rusia dan dan kemudian Amerika Syarikat (AS). Jadi, kita menggunakan hubungan itu yang boleh memberi gambaran yang lebih jelas," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Hatta Md. Ramli (Amanah - Lumut) yang mahu tahu apakah hubungan Malaysia dengan Afghanistan ketika ini memandangkan Duta Afghanistan di Malaysia belum dipecat oleh Kabul, selain Malaysia memiliki Duta Khas ke Timur Tengah.

Menjawab lanjut,  Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, pendirian Malaysia untuk mengiktiraf Afghanistan di bawah pemerintahan baharu Taliban tidak berdasarkan gambaran yang dibuat oleh puak-puak tertentu atau naratif pihak barat dan timur.

Dalam masa yang sama, Saifuddin berkata, Malaysia masih berpegang kepada pendekatan berhati-hati mengenai pendirian terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan.

"Kerajaan terus melaksanakan Dasar Luar Negeri yang bebas, berprinsip dan pragmatik, berasaskan nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.

"Kementerian Luar Negeri terus meneliti perkembanganperkembangan terkini di Aghanistan. Sebagaimana sedia maklum, pihak Taliban telah menguasai Afghanistan setelah mengambil alih Kabul pada 15 Ogos 2021. Mereka telah pun menubuhkan sebuah kerajaan sementera pada 7 September 2021.

"Sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban. Ini termasuk negara-negara jiran dekat sekeliling Afghanistan. Malaysia juga mengambil pendirian berhati-hati dan meneliti perkembangan semasa," katanya lagi.

Saifuddin menambah, sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung isu pengiktirafan tersebut, beberapa pertimbangan diperhalusi termasuk tahap penerimaan rakyat Afghanistan sendiri terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan oleh Taliban di negara tersebut.

Selain itu, katanya Malaysia telah pun menyatakan bahawa proses damai Afghanistan perlu berpaksikan kepada Afghan-led, Afghan-owned and Afghan-controlled peace and reconciliation process.