KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditahan polis selepas menyerang seorang imam jemputan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 ketika menunaikan solat Subuh awal pagi Ahad.

Kejadian kira-kira jam 6.18 pagi itu, suspek berusia dalam lingkungan 40-an yang berpakaian baju Melayu warna ungu berkain pelikat serta berseluar hitam datang secara tiba-tiba menyerang mangsa dari belakang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan kejadian itu berkata, ia berlaku di ruangan solat lelaki masjid berkenaan.

Menurutnya, imam terbabit adalah pelajar Maahad Tahfiz Thurath, Ilhan Muhammad Irham yang dijemput untuk mengimamkan solat Subuh pada Program Khatam Subuh 2.0 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

"Berdasarkan kronologi kejadian, semasa solat Subuh rakaat kedua dengan anggaran bilangan jemaah 80 orang, terdengar suara lelaki menjerit dari arah pintu 'roller shutter’ masjid di laluan berhadapan bank CIMB.

“Lebih kurang 1 minit selepas itu, ketika imam masih membaca surah dalam solat, datang seorang lelaki kurang siuman telah bertindak menolak jemaah belakang dan menuju ke arah imam terbabit.

"Secara serta-merta memukul imam itu dengan selipar yang berada di tangannya. Imam terus mengelakkan diri daripada serangan itu menyebabkan solat dihentikan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Imam dipukul lelaki kurang siuman ketika solat Subuh


Sebelum itu, tular satu video menunjukkan kejadian seorang lelaki kurang siuman telah memukul imam di masjid terbabit.

Video berdurasi 30 saat memaparkan tindakannya menolak jemaah sebelum memukul imam jemputan terbabit dengan sepasang selipar berwarna putih.

Wan Mohd Zahari berkata, selepas melihat kejadian itu pihak keselamatan masjid dan jemaah terus bertindak menghalang tindakan lelaki itu.

Jelasnya, lelaki terbabit telah ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -- Sinar Harian