PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan pengunjung bazar Ramadan di setiap negeri untuk mengimbas kod QR bagi mengemukakan aduan berhubung kualiti makanan dan kebersihan di lokasi berkenaan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif yang dimulakan di Putrajaya itu memudahkan semua pihak untuk membuat aduan.

"Kita pastikan tindakan dilakukan segera jadi pengadu boleh imbas kod QR serta lokasi bazar Ramadan dan apa jua bentuk aduan boleh dilakukan dalam sistem ini," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Ops Kebersihan Dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 di Putrajaya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Zaliha memaklumkan, KKM juga akan secara rawak mengambil sampel makanan di bazar Ramadan bagi memastikan isu keracunan makanan dapat diatasi.

"KKM akan melakukan perkara sama di setiap negeri dan perkara ini memang dilaksanakan setiap tahun. Isu keselamatan makanan adalah penting dan diutamakan.

"Kadang-kadang ada yang terjumpa rambut dan sebagainya sewaktu penyediaan makanan, ada juga kes makanan yang sudah basi. Jadi kita hendak elak berlaku keracunan makanan," ujarnya.

Sepanjang Ramadan tahun lalu, KKM telah memeriksa sebanyak 19,951 premis makanan dan daripada jumlah itu, 38 premis dilaporkan tidak bersih.

Selain itu, KKM juga telah mengeluarkan 1,030 notis kompaun atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sebelum ini, dilaporkan beberapa kes keracunan di bazar Ramadan yang menyebabkan pengunjung mengalami keracunan makanan.