KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Kuala Lumpur telah mengenal pasti sembilan penempatan haram pendatang tanpa izin yang didirikan di sekitar ibu negara.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata kebanyakan penempatan itu merupakan kawasan penempatan yang pernah diserbu Imigresen sebelum ini namun telah beroperasi semula selain terdapat juga penempatan baharu.

Beliau berkata antara faktor utama kawasan penempatan yang telah diserbu tetapi kembali beroperasi untuk penginapan pendatang tanpa izin berkenaan adalah kerana tuan tanah terbabit merupakan warga tempatan dan jabatan itu tidak mempunyai kuasa untuk merobohkan kediaman terbabit.

"Pihak Imigresen juga sukar mengesan tuan tanah kawasan berkenaan kerana dipercayai telah disewa ke atas banyak orang sehingga tiga atau empat lapisan.

"Selain itu, kita percaya rakan-rakan pendatang tanpa izin itu yang mempunyai dokumen yang sah juga terlibat dan datang semula ke kawasan penempatan itu dengan membawa rakan yang baharu tiba ke negara ini untuk menginap di situ," katanya ketika ditemui media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Syamsul Badrin berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyiasat status sebenar kawasan-kawasan terbabit sama ada ia didirikan secara sah atau pun haram sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Pemantauan dan operasi akan terus dijalankan untuk memastikan penempatan haram ini dapat dibanteras manakala warga tempatan juga diingatkan untuk tidak bersekongkol dengan pendatang tanpa izin terbabit," katanya.

Menurutnya, individu yang membenarkan mana-mana pendatang tanpa izin memasuki atau tinggal di dalam premis yang ianya mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka yang melindungi atau menggajikan warga asing boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama," katanya.

-- BERNAMA