IPOH: Jabatan Imigresen Negeri Perak menahan 101 warga asing yang dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat Pas Lawatan dalam tiga serbuan di sini menerusi Ops Mahir dan Ops Patuh, pada awal pagi Jumaat.

Pengarah Imigresen Perak, Hapdzan Husaini, berkata operasi bermula pada jam 12 tengah malam hingga 5 pagi itu dijalankan di sebuah kawasan kilang barang lusuh, logam dan kitar semula, rumah kedai serta rumah kongsi.

Menurutnya kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan umur 15 sehingga 62 tahun.

“Seramai 162 orang telah diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara. Daripada jumlah tersebut, seramai 101 orang telah ditahan.

“Ia melibatkan seorang wanita dan 10 lelaki warganegara China; seorang wanita dan 59 lelaki warganegara Myanmar, tiga wanita dan tujuh lelaki warganegara Indonesia,  seorang wanita dan tiga lelaki warganagera Vietnam, 15 lelaki warganegara Bangladesh serta seorang orang wanita warganegara India,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam operasi sama, Hapdzan memaklumkan Imigresen Perak turut melakukan serbuan di sebuah kilang barang lusuh, logam dan kitar semula di Kampung Kepayang, Simpang Pulai kerana disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah.

Katanya, pada operasi berkenaan, seramai 64 warga asing berumur antara 15 hingga 62 tahun telah ditahan, membabitkan warganegara Myanmar, China, Bangladesh, Vietnam dan Indonesia.

“Kehadiran pegawai operasi di lokasi menyebabkan mereka berlari bertempiaran sehingga ada yang sanggup menggadai nyawa dengan memanjat tembok tinggi untuk melarikan diri ke arah hutan di belakang premis tersebut.

“Pegawai operasi juga berdepan dengan detik cemas mengejar warga asing kerana kawasan kilang tersebut dipenuhi dengan barangan tajam dan logam besi.

“Namun, hasil kecekapan pegawai operasi yang telah mengepung kawasan premis dan berjaya menahan seramai 64 orang,” jelas beliau lagi.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.