PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menahan enam pendatang tanpa izin, terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia dalam satu operasi khas di Terminal Bas Bersepadu (TBS), Kuala Lumpur, kira-kira 5.20 pagi semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan enam individu terbabit berumur antara 35 dan 54 tahun ditahan kerana memasuki Malaysia melalui laluan haram.

"Operasi Khas oleh sepasukan pegawai JIM dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dijalankan setelah menerima maklumat awam bahawa terdapat enam pendatang tanpa izin akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas awam.

"Pendatang tanpa izin terbabit dipercayai baharu masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di Sungai Golok, Kelantan," katanya.

PATI | Enam individu ditahan masuk negara secara haram

Beliau berkata pihaknya telah mengesan bas yang membawa pendatang terbabit di Lebuhraya Pantai Timur sebelum bertindak mengekori mereka hingga ke TBS.

"Sebaik tiba, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas semua penumpang dalam dua bas secara berasingan," katanya.

Khairul Dzaimee berkata hasil semakan lanjut mendapati pasport milik kesemua individu terbabit memiliki cop keluar negara jiran dan cop masuk ke Malaysia yang disyaki palsu, bertujuan mengaburi pihak berkuasa bagi melepasi pemeriksaan Imigresen di pintu masuk negara.

Beliau berkata keenam-enam pendatang tanpa izin itu turut dikesan memiliki rekod senarai hitam dan dihalang memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau.

"Kesemua mereka mengaku tidak melapor untuk pemeriksaan Imigresen semasa masuk ke Malaysia, manakala urusan berkaitan pasport diuruskan pihak sindiket semasa mereka berada di rumah transit penampungan," katanya.

Khairul Dzaimee berkata pendatang tanpa izin terbabit membayar antara RM5,000 dan RM6,000 kepada ejen negara asal untuk urusan pakej kemasukan ke Malaysia, dengan tujuan ingin bekerja semula dengan bekas majikan dan mencari kerja baharu di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, semua individu terbabit kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

-- BERNAMA