PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan migran yang didalangi lelaki warga Kemboja dalam operasi khas di Terminal Bas Shah Alam, Ahad lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dalam operasi itu lelaki berusia 47 tahun itu ditahan bersama dua lelaki dan tiga wanita warga Myanmar berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun, sejurus keluar dari terminal bas itu pada 7 petang.

"Semakan mendapati kesemua warga Myanmar itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan hasil soal siasat mendapati mereka baru tiba di negara ini pada Sabtu lepas (15 Okt) melalui jalan yang tidak diwartakan.

"Mereka dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata suspek warga Kemboja yang dipercayai bertindak sebagai ejen penyeludupan itu didapati masuk ke negara ini Julai lepas dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

Khairul Dzaimee berkata sindiket itu dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara dibuka semula April lepas dengan mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,600 bagi setiap pendatang tanpa izin.

Katanya kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya dan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA