Inap desa di Sarawak mencatatkan kutipan hasil sewaan berjumlah RM3.63 juta dari Januari hingga September tahun ini, ketiga tertinggi selepas Pahang dan Sabah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Saraya Arbi berkata kutipan itu diperoleh dari keseluruhan 43 inap desa menawarkan 950 bilik daripada 620 pengusaha yang merupakan jumlah terbanyak dalam negara.

"Kami juga menyasarkan kutipan di negeri ini akan mencecah RM4.5 juta hingga hujung tahun ini," katanya selepas merasmikan Karnival Persidangan Homestay 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Plaza Merdeka, di sini, pada Jumaat.

Saraya Arbi berkata keseluruhannya seramai 7,011 pelancong asing dan seramai 40,860 pelancong domestik menginap di inap desa negeri ini pada tahun ini sehingga September lepas.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, pihaknya tidak menetapkan sasaran dan berharap pengusaha inap desa di negeri ini memperbanyakkan lagi aktiviti yang boleh menarik pelancong menginap di inap desa mereka.

"Sarawak ada banyak etnik berlainan budaya dan ini menjadi daya tarikan kepada pelancong asing terutamanya dari Eropah dan China yang ramai berminat mengetahui dan memahami budaya terbabit," katanya.

Saraya juga mendedahkan antara masalah utama pengusaha inap desa di Sarawak yang dikenal pasti pihaknya ialah kesukaran memasarkan inap desa masing-masing melalui platform digital kerana kawasan mereka di pedalaman tiada infrastruktur komunikasi yang baik.

-- BERNAMA