PUTRAJAYA: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Keganasan Global (GTI) menunjukkan prestasi yang semakin baik dalam menangani keganasan apabila melonjak kepada kedudukan 75 pada 2022 berbanding tangga ke-68 pada tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, prestasi memberangsangkan itu juga menyaksikan Malaysia menghampiri negara jiran Singapura, yang kini berada di kedudukan 93.

Jelas beliau, tangkapan individu melibatkan aktiviti keganasan di Malaysia mencatatkan penurunan terutamanya selepas pasca COVID-19.

“Pada 2016, sebanyak 126 mereka yang disyaki pengganas telah ditangkap dan menurun kepada 107 pada 2017.

“Ini kerana pencegahan dan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta langkah yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ia menurun lagi apabila pandemik (2020) dan pada tahun lalu hanya dua kes tangkapan (berkait dengan aktiviti keganasan pada tahun 2022),” katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) Bilangan 1 2023.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah pencegahan perlu dilakukan khususnya untuk mengelakkan perbezaan fahaman politik, ketaksuban perkauman serta sikap perkauman yang menebal.

Setakat Mac 2023, beliau berkata Malaysia telah meratifikasi sebanyak 10 instrumen keganasan daripada keseluruhan 19 instrumen dalam usaha menyokong langkah-langkah menangani keganasan di peringkat antarabangsa.

“Dapatan kajian keganasan yang disebabkan agama bukan oleh orang yang memahami agama tetapi ia dilakukan oleh mereka yang tidak ada latar belakang agama dan mencari jalan singkat untuk masuk syurga.

“Jadi dalam hal ini Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan terlibat untuk rangka usaha pencegahan termasuk pendidikan pra sekolah, sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi,” tambah beliau.

Ahmad Zahid berkata, pihak berkuasa turut melakukan pemantauan terhadap fahaman pelampau keganasan yang lebih berbentuk kepada perbezaan politik.

Tegas beliau, Malaysia komited untuk mempertahankan negara daripada sebarang ancaman keganasan termasuk melalui rancangan pemulihan.