KUALA LUMPUR: Indikator peraturan perniagaan di Malaysia telah menunjukkan trend kemerosotan yang ketara dalam tempoh 10 tahun yang lepas.

Perdana Menteri berkata, kemerosotan itu dari kedudukan ke-19 pada tahun 2010 kepada kedudukan ke-47 pada tahun 2021.

Justeru itu, Datuk Seri Ismail Sabri berkata ini adalah seruan kuat untuk pembaharuan kawal selia dan sesuatu perlu dilakukan.

"Dalam mencapai sasaran ini, pendekatan dasar dan peraturan berasaskan bukti atau 'Evidence-Based Policy' (EBP) perlu digalakkan. EBP akan diterapkan dalam mekanisme perancangan, penilaian, dan pemantauan supaya dapat menjamin pembaharuan struktural yang menyeluruh bagi kelestarian pertumbuhan produktiviti dan ekonomi.

"Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) MPC melalui mandat 'Malaysia Digital Economy Blueprint' (MyDigital) menerima pakai pendekatan EBP dalam memenuhi keperluan perniagaan ekonomi digital melalui Regulatory Experimentations (RE).

"Inisiatif ini mensasarkan penubuhan 5,000 syarikat 'start-up' menjelang 2025," katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan secara maya yang bertemakan “Lonjakan Produktiviti Melalui Peraturan Berkualiti”, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kemakmuran negara dalam era memerangi pandemik dicerminkan melalui tema dua dokumen ekonomi utama iaitu “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan” dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” dalam Bajet 2022.

Katanya, dalam usaha pemulihan negara, pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah dijana untuk menyokong pertumbuhan semula ekonomi, yang dijangka kukuh pada kadar 5.8 peratus pada 2022, menurut unjuran Bank Dunia, dan 6.0 peratus menurut International Monetory Fund (IMF).

"Selain itu, kadar peningkatan produktiviti juga dititikberatkan dalam pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Dalam tempoh RMK-12, produktiviti buruh diunjurkan meningkat pada kadar 3.6 peratus setahun, berbanding 1.1 peratus setahun sepanjang tempoh RMK-11.

"Dasar dan peraturan yang berkualiti bakal memudahcara operasi perniagaan, meningkatkan ketelusan dan meminimumkan bebanan kos serta sumber. Industri boleh berkembang dengan lebih dinamik dan anjal untuk kekal berdaya saing," ujarnya.

Ismail berkata, Walaupun Malaysia berada di tempat ke-12 di kalangan 190 ekonomi global menurut Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia, masih banyak perlu dilakukan dan negara tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan tersebut.

"Misalnya, dalam RMK-12, kerajaan meletakkan sasaran di antara 9 ekonomi terbaik dunia untuk sub-indeks Kecekapan Kerajaan dalam Laporan World Competitiveness Yearbook (WCY) yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD).

"Menurut WCY, peraturan perniagaan merupakan salah satu petunjuk penting untuk pencapaian kecekapan kerajaan," tambah beliau.