Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terus dilihat meningkat dalam kalangan masyarakat.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 405 pemeriksaan yang dijalankan ke atas individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari menunjukkan bahawa mereka mematuhi SOP ditetapkan.

Semalam (Sabtu), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 405 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing (home quarantine) dan kesemua individu yang dikuarantin telah mematuhi SOP yang ditetapkan.

"PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya.

Sehingga kini, seramai 11,384 indivitu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 57 hotel dan lima institut Latihan Awam (ILA) di beberapa negeri.

Daripada jumlah itu, 43 individu telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan manakala 4,295 individu telah discaj dan dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, pemeriksaan di tapak binaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati SOP yang ditetapkan dipatuhi.

"Semalam, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di lima tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 10 anggota penguatkuasa. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tapak binaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan," jelas Menteri Kanan Pertahanan itu.

Selain tapak binaan, turut diperiksa premis perniagaan yang menjadi tumpuan orang awam di seluruh negara.

Pemantauan harian di 676 premis perniagaan oleh Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati hampira kesemua mematuhi SOP PKPP.

"Pemeriksaan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 677 premis perniagaan termasuk 515 peruncit, 132 pemborong dan 30 pengilang.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi. Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 676 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 675 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 1 premis diberi nasihat kerana tidak memenuhi syarat kepatuhan SOP PKPP," katanya.

Dalam tempoh PKPP, kerajaan ujar Ismail Sabri menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutama ketika aktiviti jual beli barangan keperluan harian.