KUALA TERENGGANU: Pemohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan diberi keutamaan untuk menerima bantuan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata ia selaras dengan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang tidak akan memberi muka kepada kumpulan terbabit kerana mereka memilih untuk menolak vaksin.

Bagaimanapun Hanafiah berkata, pihaknya mengambil pendekatan menasihati dahulu untuk mereka mengambil suntikan berkenaan.

"Tetapi kita akan periksa dulu jika dia sudah terima dua dos suntikan atau tidak.

"Kalau dia tidak terima suntikan sama sekali, kita akan berikan nasihat supaya dia pergi ambil vaksin dahulu kalau mahukan bantuan. InsyaAllah saya rasa rakyat kita akan terima," katanya.

Sementara itu, Hanafiah turut menyarankan waris kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 tampil mendapatkan bantuan daripada JKM.

Katanya, nasib anak-anak yatim piatu akan dibela JKM dengan bantuan sewajarnya seperti bantuan kewangan, persekolahan dan universiti termasuk orang kurang upaya (OKU).

Beliau turut meminta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melaporkan data sekiranya terdapat anak-anak yang hilang tempat bergantung sama ada salah seorang ibu atau bapa sahaja yang meninggal dunia untuk diberikan penelitian lanjut