KUCHING: Individu yang ingin memasuki Sarawak boleh berbuat demikian dengan menunjukkan bukti pengambilan dua dos lengkap vaksin COVID-19.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, bagaimanapun mereka perlu menjalani saringan RT-PCR COVID-19 tiga hari sebelum masuk ke negeri itu.

Jelas kenyataan itu, antara alasan yang dibenarkan ialah hal peribadi (cuti semester, berhenti kerja, kecemasan melibatkan ahli keluarga), pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang melawat anak-anak di bawah 18 tahun.

"Tetapi harus diingat, kebenaran ini tidak meliputi sektor bukan penting dan tujuan melancong ke Sarawak.

"Malah, kemasukan bagi individu yang tidak divaksin atas alasan kesihatan perlu mengemukakan surat pelepasan dari klinik atau hospital sebagai bukti," katanya.

Selain itu, jawatankuasa juga memutuskan mana-mana pekerja sektor minyak dan gas yang baru mendapat satu dos vaksin dibenarkan masuk ke Sarawak sehingga 15 September ini.

Semua kelonggaran perlu menjalani kuarantin sama ada di rumah atau di pusat kuarantin yang ditetapkan JPBN Sarawak dengan kos ditanggung induividu tersebut sekiranya mereka bukan rakyat Sarawak.

Namun, bagi perjalanan tiga hari dua malam individu tersebut tidak perlu menjalani kuarantin bergantung kepada alasan memasuki Sarawak.

Namun kelulusan melalui sistem EnterSarawak itu perlu dimohon dan akan diluluskan selepas 14 hari daripada tarikh dos kedua vaksin mengikut syarat tertentu.