PASIR GUDANG: Kementerian Sumber Manusia telah menerima permohonan untuk meningkatkan gaji minimum pekerja asing kepada RM1,500.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, permohonan itu dikemukakan oleh rakan sejawatannya dari Indonesia, Ida Fauziyah dalam satu pertemuan di Jakarta, semalam.

Bagaimanapun, Malaysia, jelas beliau, mencadangkan gaji minimum pekerja asing ditetapkan bermula dari RM1,200 ringgit tanpa sebarang had diletakkan.

Dalam masa sama, kementerian, kata Saravanan, juga tidak akan menghalang mana-mana syarikat atau majikan menawarkan gaji lebih kepada pekerja asing.

“Satu isu yang dibangkitkan ialah Indonesia memohon gaji minimum RM1,500 tapi saya telah mencadangkan kita tidak boleh menetapkan gaji minimum RM1,500 sebab kita masih kuat kuasa gaji (minimum) RM1,200… saya bersetuju gaji bermula RM1,200,” kata beliau.

Saravanan berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) di sini, pada Rabu.

BACA: MoU KL - Jakarta bagi pekerja domestik dijangka termetrai awal tahun depan

BACA: Malaysia dijangka terima kemasukan hingga 10,000 pekerja asing dari Indonesia - Saravanan

Menurut Saravanan, apabila memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani kedua-dua negara pada Januari depan, bukan sahaja pembantu rumah, bahkan, pekerja-pekerja di sektor lain juga dibenarkan di bawa masuk ke Malaysia.

Beliau juga memaklummkan, kedua-dua negara akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada 14 Disember ini bagi membolehkan kesepakatan dicapai.

Sementara itu, Sebuah pusat ICLQ yang pertama di Malaysia dilancarkan di negeri Johor hari ini.

Kompleks penginapan pekerja itu dibangunkan seluas 16 ekar melibatkan empat buah blok asrama di kawasan perindustrian Pasir Gudang dan dijangka bakal menempatkan kira-kira 16,000 pekerja.