Industri perfileman dan penerbitan negara yang terjejas teruk ekoran penularan COVID-19, dijangka bangkit semula dalam tempoh enam bulan melalui suntikan dana di bawah Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pelan yang dirangka oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu akan memberi tumpuan membantu dan memberi suntikan dana kepada penggiat industri berkenaan bermula Julai hingga Disember tahun ini.

"Kita mahu keseluruhan industri kreatif diberi fokus termasuklah pada hari ini untuk industri filem kerana seperti komponen-komponen lain, industri filem juga amat terkesan akibat COVID-19... maka kita mahu suntikan ini menghidupkan dan menyegarkan semula industri perfileman.

"Jadi dalam enam bulan ini, memang menjadi matlamat kita untuk melihat industri ini bangkit semula... sama ada bila sesuatu penerbitan itu siap dan ditayangkan atau juga secepat mungkin iaitu apabila penggambaran sudah bermula, kru penggambaran sudah mula mengecapi nikmat dengan elaun yang mereka peroleh," katanya kepada pemberita selepas melancarkan PELAKSANA di sini hari ini.

MoU pelan berkenaan dipersetujui antara FINAS bersama Astro, Media Prima dan Al-Hijrah.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua dana yang ada di bawah pelan tersebut termasuklah Dana Kandungan Digital (DKD) harus dibelanja secepat mungkin untuk menghasilkan sebanyak mungkin penerbitan, agar dapat membantu memulihkan ekonomi pemain industri.

Saifuddin berkata suntikan dana tersebut mampu membantu syarikat perfileman untuk meneruskan semula penggambaran selain membayar hutang yang tertangguh setelah tidak dapat menjalankan penggambaran selama berbulan lamanya.

"Apabila banyak penerbitan sudah dihasilkan, ia perlulah ditayangkan dan sebab itulah di bawah pelan ini, terdapat kerjasama dengan stesen televisyen bagi memastikan sesuatu produk itu disiarkan," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Saifuddin berkata tempoh enam bulan ditetapkan bagi 'membayar balik' perit derita penggiat industri terutamanya mereka yang bergaji hari serta yang hilang punca pendapatan ekoran pandemik COVID-19.

"Sebanyak 80 peratus yang terlibat dalam produksi adalah kru penerbitan yang bergaji hari...kalau satu telemovie memakan masa dua minggu penggambaran, maka gaji mereka hanya dua minggu tetapi hendak hidup berbulan sementara tunggu penggambaran lain.

"Jadi, mereka terpaksa bekerja untuk lebih telemovie bagi mendapat lebih gaji. Sebab itu, pengiraan enam bulan ini adalah pengiraan teman-teman boleh cari makan khususnya bagi 'freelancer' (karyawan bebas) dan 'piecemeal' ini yang sangat mencabar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid berkata PELAKSANA diwujudkan bagi menjana semula industri kreatif tanah air untuk jangka masa pendek melalui kerjasama pihak swasta seperti stesen televisyen tempatan selain membantu stesen televisyen menjana keuntungan melalui jualan iklan dan penambahan kandungan baharu.

Katanya, suntikan dana itu juga bakal mewujudkan peluang pekerjaan dalam masa yang singkat bagi syarikat penerbitan tempatan dan perseorangan serta kepada industri sokongan yang berkaitan dengan penerbitan kandungan kreatif atau perkhidmatan belakang tadbir.

Ini termasuk perkhidmatan katering, sewaan peralatan dan sebagainya serta memperbanyakkan pemilikan hak cipta kandungan dalam kalangan penerbit tempatan bagi keuntungan pada masa hadapan.

"PELAKSANA juga memberi kebebasan kepada stesen televisyen untuk berkarya apabila stesen televisyen mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat penerbitan yang bersesuaian dengan spesifikasi syarikat tersebut dan memohon pembiayaan program PELAKSANA melalui Bahagian Dana FINAS," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata PELAKSANA telah membahagikan tiga inisiatif yang bakal membantu penggiat industri iaitu DKD, Geran Pembangunan Modal Insan dan Pakej Insentif di bawah Skim Wajib Tayang, yang keseluruhan dana berjumlah kira-kira RM50 juta.

"Kita hanya beri dana kepada syarikat penggambaran atau penerbitan yang boleh siapkan secepat mungkin dan jika mereka enggan lakukan penggambaran dalam tempoh enam bulan ini, kita akan tarik semula dana tersebut," katanya menambah penerbit rancangan hiburan, sukan, bual bicara dan majalah juga berpeluang merasai suntikan dana berkenaan.

-- BERNAMA