GEORGE TOWN: Perniagaan hampir 200 pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang dikatakan berdepan masalah untuk terus bertahan berikutan kehilangan hampir separuh pekerja khususnya perkerja warga asing.

Meskipun kerajaan sudah membenarkan kebenaran rentas negeri dan ‘dine-in’ namun disebabkan tidak mempunyai pekerja yang mencukupi membuatkan rata-rata pengusaha tertekan dengan situasi tersebut.

Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan mendakwa, ketika ini dianggarkan kira-kira 20,000 pekerja asing yang bekerja dalam sektor makanan tersebut di Pulau Pinang berbanding 40,000 orang sebelum pandemik COVID-19.

Berikutan kekurangan pekerja itu, Mohamed Ridwan mendakwa ada sebahagian pengusaha restoran nasi kandar masih belum membenarkan pelanggan untuk makan di kedai masing-masing sehingga kini.

"Kita rasa tertekan di atas beberapa sebab, salah satunya adalah kerana SOP yang ditekankan, selain ketidakcukupan pekerja untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan terutamanya selepas rentas negeri minggu ini.

"Walaupun ada pelanggan dari dalam dan luar negeri tapi pengusaha masih tidak dapat nak beri servis kerana tidak cukup pekerja... ini kerana kita masih belum dapat kelulusan (pengambilan pekerja asing)," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamed Ridzwan, menggesa kerajaan mempercepat dan mempermudahkan urusan kemasukan semula pekerja asing dalam sektor makanan tersebut dalam menyokong kelangsungan perniagaan mereka.

Mengulas lanjut, bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja itu, pihak pengusaha ada membuka peluang dengan tawaran gaji sebanyak RM1,800 kepada rakyat tempatan namun tidak mendapat sambutan kerana ramai yang tidak berminat.

Sementara itu, Pengusaha Nasi Kandar Hameediyah Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkor, 66, mendakwa dia turut terkesan berikutan kehilangan ramai pekerja asing.

Malah dia  terpaksa membayar kompaun sebanyak RM10, 000  kerana didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) minggu lepas.

"Kita dalam keadaan genting sekarang, di mana kita kekurangan pekerja untuk menyediakan makanan dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kita.

"Kami (pengusaha nasi kandar) memerlukan pekerja yang ramai untuk mengawasi situasi pelanggan di kedai kami, jadi kami amat berharap kerajaan akan membenarkan kemasukan pekerja asing," katanya.