Inflasi Jun 2022 rekod 3.4 peratus, inflasi makanan cecah 6.1 peratus

Harits Asyraf Hasnan
Julai 22, 2022 04:35 MYT
Antara kategori Makanan Di Luar Rumah yang mencatatkan kenaikan inflasi adalah roti canai, iaitu sebanyak 10.5%. - Foto Facebook Mamak Haymarket
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) Jun 2022 meningkat 3.4 peratus kepada 127.4 berbanding 123.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan, kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 iaitu 1.9%.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan Jun 2022.
"Kesemua subkumpulan bagi Makanan & Minuman Bukan Alkohol menunjukkan peningkatan antara 2.8 peratus hingga 11.9 peratus.
"Sementara itu, komponen Makanan Di Rumah dan Makanan Di Luar Rumah masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 6.6 peratus, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.
"Antara Makanan Di Luar Rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (10.5 peratus), nasi berlauk (9.7 peratus), masakan daging (7.8 peratus) dan makanan berasaskan mee (7.0%)," menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada inflasi keseluruhan kepada 3.4 peratus.
Pengangkutan meningkat 5.4 peratus diikuti Restoran & Hotel (5.0 peratus); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (3.4 peratus); Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.2 peratus) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (2.2 peratus).
#Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin #inflasi Jun 2022 #Indeks Harga Pengguna