KUALA LUMPUR: Belum sudah ancaman COVID-19, baru berlalu musibah banjir, negara kini berdepan inflasi tinggi pula.

Bukan negara kita sahaja sebenarnya, ini adalah fenomena yang melanda dunia apabila aktiviti ekonomi hidup semula selepas hampir dua tahun dibendung pandemik.

Apabila untuk satu tempoh yang lama berada dalam keadaan 'sendu' dan tiba-tiba bangun dan kembali rancak, pastinya permintaan pasaran meningkat dengan mendadak sehingga melebihi bekalan yang ada, maka kenaikan harga tidak dapat dielakkan.

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi utama mencatat peningkatan 3.3 peratus daripada 120.0 pada 2020 kepada 124.0 pada November 2021, dan kenaikan berlaku untuk tempoh sembilan bulan berturut-turut.

Walaupun setakat tahun ini unjuran IHP dikekalkan pada 2 peratus, terdapat risiko kenaikan terhadap tekanan inflasi.

Harga makanan dijangka terus meningkat disebabkan kenaikan harga import, kekurangan tenaga buruh, pengeluaran dan perkhidmatan yang terjejas dek banjir besar yang masih belum pulih sepenuhnya serta kenaikan harga minyak dunia yang secara langsung menaikkan kos pengangkutan.

Walau tak dapat dielak, masalah ini seperti juga masalah-masalah lain, boleh ditangani andai ketulusan, ketelusan dan kesungguhan dalam menyelesaikannya.

Kerajaan telah melaksanakan Skim Harga Maksimun Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuat kuasa 7 hingga 31 Disember tahun lalu, namun langkah itu sahaja tidak cukup untuk memberi kestabilan kepada ekonomi negara dan paling mustahak, kesejahteraan kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan seharian.

Pelbagai isu dalam kegiatan ekonomi seperti orang tengah dan jumlah pemegang AP antara aspek yang perlu dilihat dalam mengurangkan kadar kenaikan harga, dan mungkin juga kerajaan boleh melaksanakan pemberian subsidi bersasar jangka pendek sepertimana yang dicadangkan oleh para pemerhati dan penyelidik ekonomi.

Apa lagi yang boleh kita lakukan?

Ikuti perbincangannya di pentas Dialog Tiga Penjuru jam 8.30 malam ini bersama hos Luqman Hariz dan tiga panel jemputan: Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Azfanizam Abdul Rashid; Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia, Chris Daniel Wong; dan penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Prof. Madya Ahmed Razman Abdul Latiff.