TATKALA dunia dibelenggu pandemik COVID-19 yang membawa kekangan hidup, langkah pelaburan dalam pengangkutan awam mampu mewujudkan sehingga 4.6 juta pekerjaan menjelang 2030 selain mengurangkan pelepasan bahan pencemar daripada pengangkutan.

Rangkaian bandar sedunia yang mendorong tindakan perubahan iklim atau Kumpulan Kepimpinan Iklim, C40, berkata pemulihan menerusi pelaburan dalam bas dan kereta api, terutamanya kenderaan elektrik, juga akan mengurangkan penggunaan kereta dan pencemaran udara serta melindungi penduduk rentan.

“Jalan menuju pemulihan adalah menerusi pelaburan dalam infrastruktur.

“Pengangkutan awam bukan sekadar sebagai cara untuk membawa orang dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Ia adalah kenderaan untuk membawakan peluang, kesaksamaan dan kualiti hidup yang lebih baik,” kata Pengerusi Kumpulan Kepimpinan Iklim Bandar-bandar C40 dan Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti.

Merujuk laporan Forum Ekonomi Sedunia (WEF), C40 melaporkan beberapa sistem pengangkutan awam terjejas eruk disebabkan pandemik yang melanda berikutan kelumpuhan aktiviti di bandar-bandar. Contohnya, New York meramalkan defisit AS$6 bilion pada 2021 dan Paris kehilangan hampir AS$4 bilion pendapatan pada 2020.

Dihuni 60 peratus penduduk dunia, bandar-bandar global itu menempuh krisis berkenaan dengan hampir 100 juta orang, terutamanya wanita dan etnik minoriti, berisiko berdepan kemiskinan disebabkan kemelesetan ekonomi.

Laporan C40 berkata setiap AS$1 yang dilaburkan dalam pengangkutan awam mampu menghasilkan pulangan ekonomi sebanyak AS$5, manakala setaip AS$1 bilion yang dilaburkan mampu mewujudkan 50,000 pekerjaan.

C40 juga berkata, pelan pemulihan hijau juga akan menyokong pekerja berpendapatan rendah yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke tempat bekerja, khususnya wanita dan belia.

Dua golongan ini, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai golongan yang paling teruk terjejas akibat dibuang kerja semasa pandemik COVID-19.

“Inilah masanya untuk melabur dalam perkhidmatan awam tempatan, termasuk infrastruktur pengangkutan awam untuk memastikan masa depan yang adil, makmur dan hijau untuk semua.

“Tanpa sistem pengangkutan awam yang kukuh, pekerja terutamanya wanita, migran, belia, pekerja tidak mempunyai pekerjaan tetap, berdepan dengan halangan lebih besar untuk mendapatkan akses kepada pekerjaa,” kata Ketua Perkhidmatan Awam Antarabangsa, Rosa Pavanelli.

C40 Cities merujuk kepada kumpulan hampir 100 bandar sedunia yang mewakili satu per dua belas daripada populasi global, dan suku daripada ekonomi global. C40 memberi tumpuan pada usaha menangani perubahan iklim dan memacu tindakan urban untuk mengurangkan risiko pelepasan gas rumah hijau dan iklim, selain meningkatkan peluang kesihatan, kesejahteraan dan ekonomi penduduk bandar.