Gara-gara berkumpul dan mahu menggunting rambut, 13 lelaki termasuk pemilik kedai gunting rambut di Jalan Mengkuang, Butterworth ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam serbuan jam 3. 15 petang itu, kesemua lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 24 tahun ditahan selepas gagal memberikan alasan munasabah.

Menurut Noorzainy, siasatan awal mendapati pemilik kedai gunting itu menjalankan aktiviti menggunting rambut secara tertutup selepas kerajaan tidak membenarkan premis gunting rambut beroperasi.

Ketika serbuan, semua pelanggan berada didalam kedai menunggu giliran untuk menggunting rambut.

"Dalam serbuan polis itu, kita telah tahan 13 orang yang disyaki berhimpun tanpa alasan dan dari siasatan mendapati, mereka datang untuk gunting rambut secara tertutup. Kami difahamkan bahawa tuan punya kedai telah membuka perniagaan dan membenarkan pelanggan masuk ke dalam kedai untuk gunting rambut," ujar Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor.

Kerajaan sebelum ini memutuskan kedai gunting rambut, salun kecantikan di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP.

Katanya, serbuan dibuat hasil maklumat awam dan semua mereka disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta 342 kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Sabit kesalahan boleh didenda atau penjara 1 tahun atau kedua-dua sekali.

Norzainy berkata demikian ketika ditemui di premis berkenaan pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, polis turut menahan 20 individu lain kerana berkumpul dan ingkar PKP dalam operasi disekitar kawasan Butterworth.