Bagi mangsa-mangsa banjir di Melaka, bencana yang melanda negeri itu kali ini merupakan yang paling teruk mereka alami sejak empat tahun lepas.

Kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Alor Gajah dan satu pusat pemindahan di Melaka Tengah.

Seorang mangsa, Rumlah Kassim, 60 tahun, berkata situasi banjir kali ini luar biasa apabila paras air naik sehingga ke bumbung rumahnya.

Dia ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Belimbing bersama suami dan tiga anak mereka.

Ujarnya, hatinya luluh apabila melihat kediaman yang didudukinya sejak hampir 30 tahun lalu ditenggalami air, lebih-lebih lagi mengenangkan barangan berharga yang tidak dapat diselamatkan.

Jelas Rumlah, setiap tahun, dia dan suami yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan sebagai nelayan pantai, membuat persediaan berdepan bencana ini, namun tidak menyangka paras air kali ini terlalu tinggi.


"Rasa kecewa sangat, bahagian depan rumah habis tenggelam, dalam rumah (air) dalam lapan kaki (tinggi) ada, lah.

"Barang yang dapat diselamatkan sikit saja. Balik nanti, tak tau lah apa lagi yang boleh diselamatkan.

"Nak beli (barang) baru bukan mudah, kami hanya nelayan. Saya tak tahu nak mengadu dekat siapa, harap-harap ada pihak yang sudi membantu nanti," katanya sebak.

Dalam pada itu, Rumlah berkata, mereka sebelum ini pernah dijanjikan penempatan yang lebih selesa namun mereka masih terpaksa berdepan situasi sama setiap tahun.

Tambahnya, ada lima kampung di daerah itu yang disifatkan terlalu rendah sehingga penduduk tidak boleh tidur lena apabila hujan lebat.

Kesedihan sama turut dikongsikan seorang lagi mangsa, Ahmad Amat, 49 tahun.

"Banjir berlaku dalam pukul 2 petang, cepat-cepat saya pindah, barang mana yang dapat diselamatkan, selamat lah. Yang tak dapat semua dah terapung…"

Ahmad memohon Kerajaan Negeri untuk segera mempertimbangkan penempatan yang lebih sesuai untuk penduduk yang sering terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun, setakat pukul 1 petang tadi, jumlah mangsa di Alor Gajah dan Melaka Tengah mulai berkurangan kepada 987 mangsa berbanding 1,081 mangsa awal pagi tadi.