PANDEMIK COVID-19 merupakan cabaran baharu yang perlu dilalui semua pihak, apatah lagi oleh pesakit kanser.

Berjuang melawan kanser memerlukan emosi dan ketabahan yang tinggi bagi penghidapnya.

Tetapi, bagaimana pula penghidap kanser yang disahkan positif COVID-19?

Bukan mudah untuk mengharungi kedua-duanya, tetapi bagi ibu tunggal Rosidah Abdul Rahman, tiada apa yang mustahil. 

Pada Februari 2020, Rosidah disahkan menghidap kanser perut tahap 1B.

Namun, lebih kurang setahun kemudian, takdir hidup wanita berusia 60 tahun itu sekali lagi diuji.

Kali ini, ibu kepada empat cahaya mata itu disahkan dijangkiti COVID-19 selepas menjalani ujian saringan pada 12 Januari lalu.

Beliau kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani rawatan lanjut sebelum didiscaj pada 21 Januari.

“Sebabkan saya boleh berjalan mereka suruh saya terus makan ubat supplement yang dibekalkan hospital selama ini.

“Dalam pada itu, mereka bagi saya ubat selesema, ubat batuk dan air garam sebab saya masih cirit-birit disebabkan (kesan sampingan) COVID-19.

“Cuma (sepanjang rawatan COVID-19) tiada (pemantauan ketat).

"Doktor hanya memantau tahap gula dalam darah, tekanan darah dan tahap oksigen.

"Doktor bagi senaman ringan untuk tengok kadar oksigen dalam paru-paru,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau di Gombak baru-baru ini.

Walaupun diuji, Rosidah masih mampu tersenyum dan berlapang dada mengharungi penyakit yang dihidapinya - Gambar Astro AWANI / Noor Fahmey Mohd Azhar

Berkongsi mengenai penyakit kanser dihidapinya, Rosidah berkata segalanya bermula pada 2019 selepas beliau hilang selera makan dan berat badan mula menurun.

Pada awalnya, doktor mengesyaki Penasihat Pembangunan Perniagaan itu hanya mengalami batu hempedu.

Namun selepas menjalani pemeriksaan menerusi endoskopi atau skop, doktor mengesan terdapat pendarahan dan ketumbuhan di pangkal usus kecil.

Pada 17 Februari 2020, Rosidah menjalani pembedahan membuang tiga per empat bahagian perut, sebanyak 32 kelenjar limfa serta sedikit pankreas.

“Sepanjang saya menjalani 12 kimoterapi, saya makan seperti biasa cuma disebabkan perut saya sudah dipotong, selera berkurangan dan setiap kali saya makan ia akan keluar.

“Macam kes saya, doktor sudah pesan makan dulu setengah jam, dan baru minum.

"Saya juga tak boleh makan makanan seperti bubur atau berkuah,” jelasnya lagi. 

Biarpun diuji, semangat Rosidah tidak pernah luntur.

Anak kesembilan daripada 12 beradik itu reda dengan ketentuan Ilahi walaupun sejarah keluarganya tidak mempunyai penyakit itu.

“Jadi selama saya hidap kanser ini, saya sekali pun tak pernah rasa ‘kenapa aku yang kena penyakit ini?’

“Jadi, orang di luar sana jangan rasakan kanser ini peluang akhir (dalam hidup).

"Orang yang di tahap 4 pun, bila Allah SWT kata sembuh (kita akan sembuh). Tak kira agama, kita kena usaha.

“Orang tak tahu akan kata, tiada harapan. Tetapi orang di sekeliling saya semua positif.

"Mereka hantar aura positif kepada kita dan kita sendiri kena kuat kerana ia semuanya daripada kita,” ujarnya.

Justeru, dalam menjalani liku-liku kehidupan, Rosidah berharap agar pejuang-pejuang kanser terus bangkit melawan penyakit itu.

Rosidah yang bekerja di sebuah syarikat swasta kini sedang menjalani cuti tanpa gaji sejak Julai 2020.

Beliau berulang-alik menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Institut Kanser Negara.


 

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia dengan kira-kira satu daripada setiap enam kematian yang berlaku disebabkan penyakit tersebut.

Dianggarkan 30 hingga 50 peratus kanser boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat.

Sementara di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia pada 2012 hingga 2016 menunjukkan kanser payu dara merupakan kanser paling tinggi dihidapi rakyat di negara ini iaitu sebanyak 19 peratus.

Ia diikuti kanser kolorektal (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus).