KUALA LUMPUR: Cabaran ekonomi global mungkin membataskan aktiviti pelancongan ke luar negara, tetapi tidak andai destinasinya adalah di sekitar negara kita sendiri.

Oleh hal demikian, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia melancarkan kempen baharu dipanggil “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” untuk menggalakkan pelancongan domestik.

Kata Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan, kempen tersebut bermatlamat mengingatkan semula seluruh warga Malaysia khususnya dan pelancong luar amnya bahawa negara ini mempunyai segalanya untuk dinikmati dan dialami.

Bukan sahaja menarik, tetapi juga tidak perlu berbelanja besar, sesuai dengan keadaan semasa yang agak menekan.

“Kita tahu sekarang rakyat hidup dalam keadaan tegang, disebabkan krisis ekonomi dan pandemik COVID-19 selama dua tahun, jadi kita semua rasa tertekan.

“Disebabkan itulah Tourism Malaysia melihat perlunya untuk merakyatkan industri pelancongan supaya semua orang boleh melancong di negara kita dalam keadaan yang ceria, penuh kasih sayang dan paling penting ianya dapat dilakukan dalam keadaan yang mampu milik,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Untuk menyemarakkan lagi pelaksanaan kempen tersebut, Tourism Malaysia juga tampil dengan lagu tema baharu berjudul “Masanya Telah Tiba” nyanyian Nik Qistina, hasil gubahan komposer Ananth Kumar dan lirik oleh James Boyle.

Seiring itu, katanya, Tourism Malaysia juga meneruskan penganjuran program “Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) Travel Fair” yang menghidangkan pelbagai tawaran pakej percutian, tambang dan tiket masuk pada harga menarik dan berpatutan.

“Paling penting adalah kita rakyat Malaysia dapat merasai segala bentuk promosi yang telah dilakukan supaya orang kita dapat mengecapi sebenar-benarnya apakah itu Malaysia,” ujar Khairul Firdaus.

Katanya lagi, dengan merancakkan pelancongan domestik, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan wang keluar sekali gus membina kestabilan ekonomi negara untuk mendepani tempoh sukar yang dijangka berlaku tahun hadapan.

Dalam masa sama, sepertimana yang telah dinyatakan, MOTAC juga menyasarkan kemasukan 15.6 juta pelancong luar pada 2023 dengan anggaran perolehan sekitar RM120.4 bilion.

Bagi tujuan itu, katanya, Tourism Malaysia giat mempromosikan destinasi pelancongan menarik negara menerusi video berjudul “The Soul of Malaysia” yang kini ditayangkan di serata dunia secara berterusan hingga hujung tahun depan.

“Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” kempen terbaharu Tourism Malaysia

 
“JCCM Travel Fair” tawar pakej pelancongan harga berpatutan