KUANTAN: Program Inisiatif Bitara MADANI kini melaksanakan pelbagai usaha untuk memberi lebih keselesaan kepada orang ramai seperti mengurangkan kesesakan di hospital, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), serta pembangunan sekolah daif di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kesemua inisiatif berkenaan yang dikelolakan oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) itu melihat kepada pelaksanaan yang menggunakan kos rendah, berimpak tinggi dan boleh dilakukan secara pantas.

"Dalam hal ini, perekayasaan proses kerja dan semakan semula peraturan dibuat oleh penyelaras bersama STAR iaitu Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sendiri.

"Ia amat penting untuk melihat penambahbaikan bagi memendekkan, memudahkan serta mengoptimumkan sumber yang ada dalam pelaksanaan sesebuah inisiatif," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan MyMudah 2023 peringkat Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman dan Pengarah Pembangunan Pahang Datuk Zulkifli Yaacob.

Mohd Zuki berkata bagi konteks negeri pula, inisiatif MyMudah diperkenalkan dengan tujuan memudahkan urusan perniagaan agar dapat memberi kelebihan kepada kerajaan negeri menarik lebih banyak pelabur.

"Dengan memudahkan urusan perniagaan, pertumbuhan ekonomi tempatan dapat ditingkatkan selain pada masa sama mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Inisiatif seperti ini boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di peringkat negeri," katanya.

Pada ucapannya, Mohd Zuki juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pahang kerana berjaya menubuhkan Unit MyMudah yang pertama di wilayah Pantai Timur di samping kejayaan melaksanakan projek MyMudah seperti inisiatif F8 bagi menambah baik urusan pembinaan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan isu berkaitan penginapan sementara pekerja asing oleh Majlis Daerah Cameron Highlands.

-- BERNAMA