KUALA LUMPUR: Inisiatif Malaysia Digital yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok adalah isyarat kepada dunia bahawa Malaysia bersiap siaga untuk meletakkan negara di saf hadapan dalam sektor ekonomi digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata negara yang mengambil peluang dan kesempatan membuat pelarasan dari segi mekanisme dan keupayaan menghadapi ekosistem ekonomi digital yang baharu pascapandemik COVID-19 akan berada di saf hadapan dalam perlumbaan dan persaingan sejagat.

"Amatlah bertepatan bagi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memberikan fokus bukan sahaja penghargaan (kepada pemain industri ekonomi digital) tetapi selanjutnya memberi fokus dengan tumpuan dan penekanan baharu bermula dari sekarang bagi 25 tahun akan datang.

"Adalah tepat kita melancarkan esok satu program, satu rancangan yang melambangkan iltizam dan komitmen negara kita untuk menangani dan menguasai ekosistem yang baharu ini," katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia sempena Sambutan Jubli Perak MDEC.

Malaysia Digital adalah program di agensi peneraju ekonomi digital negara, MDEC yang dipertingkat bagi menggantikan MSC Malaysia yang telah wujud selama 25 tahun.

Annuar berkata sejak penubuhan MDEC 25 tahun lepas sehingga Disember 2020, MDEC telah berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM384 bilion, menjana pendapatan hampir RM600 bilion, mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM212 bilion dan seterusnya mewujudkan lebih 180,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Selain itu, beliau berkata komitmen MDEC dalam memacu sektor e-dagang menyaksikan nilai transaksi e-dagang negara mencecah RM1 trilion buat pertama kali pada 2021, iaitu peningkatan lebih 20 peratus berbanding 2020.

"E-dagang juga menyumbang 11.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan pada tahun 2020 berbanding 8.5 peratus sahaja pada 2019. Ini adalah data yang menunjukkan e-dagang adalah satu daripada sektor yang sedang berkembang dengan pesat.

"Begitu juga dalam bidang lain termasuk industri kreatif, pada masa ini terdapat lebih daripada 300 studio industri kreatif dan sebagainya," katanya.

Sempena sambutan Jubli Perak ini, MDEC buat julung kali menganjurkan Majlis Anugerah Penyampaian Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia 2022 yang bertujuan mengiktiraf dan menghargai agensi serta penggiat industri yang menyokong perbadanan itu sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital di Malaysia.

Antara penerima anugerah di majlis itu hari ini adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi Anugerah Kecemerlangan Organisasi Berteraskan Data dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Jabatan Perangkaan (DOSM) bagi Anugerah Kecemerlangan Pendukung Perkongsian Data Nasional - Sektor Awam.

Lima anugerah utama antaranya ialah Anugerah Status Unicorn, Anugerah Murid Teladan #mydigitalmaker dan Pelaburan Keseluruhan Tertinggi Tempatan akan disampaikan Ismail Sabri semasa Majlis Pelancaran Digital Malaysia dan Sambutan Jubli Perak MDEC esok.

-- BERNAMA