JOHOR BAHRU: Seorang pembantu tekong warga Indonesia dijatuhi hukuman 10 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas kesalahan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada 20 Januari lalu.
 
Terduduh, Hermanda, 27, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Noor Hayati Mat pada Selasa.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyeludup masuk 18 orang PATI di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi pada 20 Januari lalu.
 

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara terhadap tertuduh, berkuasa dari tarikh tangkapan pada 20 Januari 2022.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana kesalahan penyeludupan migran dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana telah bersama-sama menyeludup migran.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Negeri Johor, Azlan Bohari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 
Terdahulu, satu kejadian bot yang membawa seramai 27 orang PATI dilaporkan karam di Teluk Ramunia pada 20 Januari yang mengorbankan lapan orang mangsa dengan dua daripada mereka masih hilang.

Sejumlah 19 orang mangsa berjaya diselamatkan termasuk tertuduh yang ditangkap selepas siasatan dilakukan terhadap mangsa yang terlibat.