LANGKAWI: Seramai 44 mangsa yang terkandas di Air Terjun Telaga Tujuh, di sini, berjaya diselamatkan dalam satu operasi mencari dan menyelamat sekitar pukul 2.30 petang hari ini.

Ketua Balai Bomba Langkawi, Sallehuddin Darawi berkata, mangsa terdiri daripada 41 orang pendaki  dan tiga Malim Gunung.

Katanya, kesemua mereka telah memulakan pendakian di tebing Gunung Mat Chinchang itu seawal pukul 4 pagi tadi sebelum terkandas sewaktu menuruni laluan terbabit akibat aliran sungai yang deras.

“Setelah pendakian selesai, mereka mula turun akibat hujan mulai lebat. Apabila cuba menuruni laluan itu, sampai ke aliran sungai, mereka tidak dapat melintas kerana arus sungai terlalu deras.

“Setelah itu mereka pun hubungi pihak bomba untuk datang buat penyelamatan. Respons dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, yang hadir seramai 18 orang termasuk saya sendiri, untuk respons. Pada masa ini semua mangsa iaitu seramai 44 orang telah berjaya diselamatkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Terdahulu Astro AWANI melaporkan seramai 44 pengunjung air terjun Telaga Tujuh, di sini, dilaporkan teperangkap dalam kejadian kepala air pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian sekitar pukul 10 pagi itu, pengunjung-pengunjung berkenaan sedang beriadah di kawasan air terjun itu sebelum hujan lebat.

Mengulas lanjut, Sallehuddin berkata, setakat ini operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan kerana tiada lagi pengunjung lain di tempat kejadian.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, kawasan itu perlu dielakkan memandangkan keadaan cuaca di Langkawi masih tidak menentu.

“Untuk makluman, air ini masih deras dan situasi masih tidak selamat. Kesemua pengujung buat masa ini tidak dibenarkan untuk hadir ke kawasan tersebut.

“Dan selepas kami tinggalkan kawasan tersebut, kawasan tersebut masih dalam situasi berjaga-jaga. Berkemungkinan kita akan buat pemantauan dari semasa ke semasa supaya tiada lagi pengunjung yang hadir untuk beriadah di kawasan ini,” katanya lagi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Sharima Ashari berkata, setakat ini sebanyak 13 kawasan di sekitar Langkawi telah dinaiki air, namun semua laluan masih boleh diakses.

Beliau berkata, kesemua penduduk di Langkawi, diminta untuk sentiasa mendapatkan kemaskini mengenai keadaan cuaca di pulau itu, sebelum melakukan aktiviti di luar.

“Untuk penduduk Langkawi, kita minta supaya terus dapatkan status terkini berkaitan cuaca, sekiranya mereka ini diminta berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), minta mereka beri kerjasama pihak berkuasa.

"Untuk persediaan di Langkawi, kita telah letakkan semua pasukan tindak balas bencana dalam keadaan siap sedia.

“Untuk pengunjung yang menaiki kapal terbang atau feri ke Langkawi, kita sarankan untuk mereka ini dapatkan maklumat terkini tentang penerbangan atau feri sekiranya ada sebarang perubahan,” katanya lagi.