Institut adat akan ditubuhkan - Rais Yatim

Bernama
Julai 23, 2017 01:23 MYT
RAIS: Satu penzahiran yang penting berkenaan adat Melayu yang nampaknya semakin mundur.
Sebuah institut adat akan ditubuhkan dalam masa terdekat dalam usaha mengangkat martabat budaya dan adat Melayu yang semakin hilang ditelan arus kemodenan.
Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata penubuhan institut itu memerlukan kerjasama dari pemimpin sahsiah dan adat di setiap negeri, termasuk wakil-wakil agensi yang mempunyai kecenderungan dalam adat dan kebudayaan.
"Penubuhan institut adat ini merupakan satu langkah yang amat positif dan ia juga merupakan satu penzahiran yang penting berkenaan adat Melayu yang nampaknya semakin mundur.
"Ini juga selari dengan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya menyatakan takrifan Melayu itu selain beragama Islam dan berbahasa Melayu, mestilah mengamalkan adat budaya Melayu," katanya kepada pemberita di Jamuan Raya Kampung Dioh, di sini pada Sabtu.
Rais berkata institut adat ini akan merangkumi dua peringkat iaitu adat di peringkat diraja dan adat di kalangan rakyat.
Beliau berkata satu konvensyen akan diada dan dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 5 dan 6 Ogos depan bagi membincangkan hala tuju adat Melayu pada masa depan.-- BERNAMA
#budaya #institut adat #Melayu #Rais Yatim #rakyat