KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara Tun Muhammed Hanif Omar menyifatkan pemergian bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Allahyarham Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Bukan itu sahaja beliau berpandangan nilai kepolisan yang diserapkan oleh Allahyarham sepanjang perkhidmatannya wajar dijadikan contoh oleh warga PDRM ketika ini.

Beliau yang ditemui di Tanah Perkuburan Radhatus Sakinah di Bukit Kiara di ibu negara selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham berkata, Tan Sri Zaman Khan ketika bertugas tidak pernah berputus asa walau apa pun cabaran yang dihadapinya.

"Kalau kita ingat insiden Red Army misalnya, Bentong Kali dan banyak lagi, ia membabitkan komitmen penuh beliau.

"Seorang yang sangat berintegriti dan tidak pernah kenal erti kalah atau berputus asa yang boleh dicontohi. Ini adalah kehilangan besar untuk kita dan saya secara peribadi," katanya.

BACA: Tan Sri Zaman Khan meninggal dunia

BACA: Jenazah Tan Sri Zaman Khan selamat dikebumikan

Tun Haniff yang menganggap Allahyarham seperti adiknya sendiri berkata terlalu banyak kenangan yang membabitkan mereka ketika masih menganggotai PDRM.

"Saya amat baik dengan beliau, anak beliau dan semua keluarganya. Kenal dengannya ketika dia di Unit Trafik lagi," jelasnya dalam keadaan sebak ketika berkongsi cerita dengan petugas media di sini petang tadi.

Pada era pentadbiran Allahyarham, penyelesaian beberapa kes besar jenayah di negara ini adalah melibatkan usaha dan komitmennya sebagai Pengarah JSJ ketika itu.

Antaranya termasuklah kes tebusan di Penjara Pudu pada tahun 1986, di mana ketika itu Allahyarham merupakan Pengarah Keselamatan Dalaman dan Ketenteraman Awam.

Selain itu Allahyarham juga terbabit dalam melaksanakan tugasan memburu penjenayah paling ditakuti P. Kalimuthu, hingga akhirnya ditembak mati pada 29 Jun 1993.

Malah, dalam rentetan episod itu, beliau sendiri pernah menerima ugutan daripada penjenayah terbabit.