KUALA LUMPUR: Kehadiran dua individu mencurigakan dengan manaiki sebuah kereta di hadapan Pintu 3 Istana Negara mencetuskan tindakan pantas pihak keselamatan pagi tadi.

Dua klip video yang berdurasi masing-masing hampir 1 minit itu memaparkan pihak keselamatan dengan segera menghalang dua individu itu merempuh masuk ke Istana Negara.

Pemandu kenderaan tersebut bertindak mengundurkan kenderaan sebelum penumpang di tempat duduk hadapan cuba melarikan diri.

Tindakan pantas pihak keselamatan berjaya memastikan kedua-dua mereka ditahan.

Bagaimanapun, Astro AWANI difahamkan, tindakan itu merupakan sebahagian daripada simulasi Pelan Kontingensi Keselamatan (Skim Pertahanan Pengkalan) yang dilakukan pihak keselamatan Istana Negara.


Istana Negara 'diserang'? Jangan panik, ini hanya latihan

Proses simulasi itu berlangsung bermula jam 10 hingga 11 pagi tadi.

Semasa simulasi dijalankan, kesemua pintu masuk dan keluar ditutup serta merta dan semua sistem keselamatan diaktifkan.

Malah, kenderaan juga tidak dibenarkan untuk keluar atau masuk Istana Negara.