Selepas gagal cubaan pertama menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, PKR mencuba nasib sekali lagi, tetapi kali ini dengan surat yang ditulis dan ditandatangani sendiri Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Surat permohonan menghadap terdahulu yang ditulis Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak pihak istana atas alasan tidak mengikut prosedur.

Menurut sumber dalaman PKR, surat terbaharu akan dihantar dalam masa terdekat dan diharap mendapat reaksi positif daripada pihak Istana Selangor.

"Hari ini, PKR akan tulis surat sekali lagi kepada istana. Surat yang sama, tetapi kali ini Wan Azizah yang tandatangan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani pada Selasa memaklumkan dalam kenyataan media bahawa pihak istana memberi perkenan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai menteri besar selain tidak menerima permohonan menghadap Wan Azizah dalam surat yang ditulis Anwar.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalaman PKR.

Ujar sumber itu lagi, surat yang akan dihantar dan ditandatangani Wan Azizah kepada Istana Selangor itu bertujuan sama seperti surat yang dihantar Anwar sebelum ini.

"Kali ini ia ditandatangani Presiden PKR dan dilihat lebih formal untuk dibawa ke peringkat istana.

"Mungkin penolakan sebelum ini disebabkan ia ditandatangani Anwar selain Abdul Khalid sendiri yang sudah menghadap baginda," jelasnya.

Pada Isnin, Sultan Selangor memberi perkenan agar Abdul Khalid mengekalkan tugas sebagai Menteri Besar Selangor.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan pada hari yang sama pula menjelaskan, sehingga ada perkembangan terbaharu, beliau kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Sebelum ini, Sultan Selangor pernah menolak permohonan menghadap Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya mengenai penghapusan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).