KUALA LUMPUR: Berhadapan dengan ujian dijangkiti COVID-19 di luar negara telah membuka mata seorang penggiat seni tanah air tentang keupayaan kerajaan menguruskan wabak itu yang disifatkannya sebagai terbaik.

Berkongsi pengalaman itu di laman Twitter, Muhammad Fadly Ishak, 35, berkata perkara itu dapat disaksikan semasa isterinya disahkan positif COVID-19 di Belanda ketika menjalani ujian RT-PCR (ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata) dua hari sebelum pulang ke tanah air selepas selesai mengembara ke United Kingdom (UK) dan Belanda.

"Bab pengurusan health care (penjagaan kesihatan) COVID-19 saya salute Kementerian Kesihatan (KKM) ... bila dekat sana baru saya tahu betapa hebatnya Malaysia handle (kendalikan) COVID-19," katanya yang turut 'memberi tabik hormat' kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi bebenang itu, beliau berkata usahanya untuk menghubungi pihak berkuasa kesihatan di Belanda bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi kes positif COVID-19 melalui e-mel tidak menerima sebarang balasan berikutan halangan bahasa.

Tidak berputus asa, Muhammad Fadly kemudian mengajukan pertanyaan sama kepada petugas klinik di negara itu, namun tiada jawapan jelas dapat diberikan sebaliknya beliau diminta untuk menghantar e-mel kepada pihak berkuasa kesihatan Belanda.

Berikutan tidak mendapat sebarang jawapan untuk pertanyaan itu, beliau kemudian bertindak menghantar e-mel kepada KKM bagi meminta bantuan mengenai isu yang dihadapinya.

"Sampailah saya e-mel KKM, kejap saja mereka respons dan terangkan macam mana (untuk menyelesaikan isu), siap buat appointment call untuk (memberi) keterangan lanjut. Punyalah rasa dihargai walaupun saya berada di luar negara.

"Kat sana, (luar negara) ada klinik untuk (membuat) ujian saringan COVID-19 sahaja tapi klinik tak ada maklumat (lengkap mengenai SOP pengurusan wabak)...tak macam Malaysia, pergilah mana-mana klinik buat ujian saringan COVID-19 pun, boleh WhatsApp dan buat panggilan telefon untuk bertanyakan maklumat," katanya.

Perkongsian Muhammad Fadly itu turut menerima komen daripada pengguna Twitter @ariffeuer yang berkata : "Tak dinafikan ada hiccups sana sini tapi apa yang KKM buat selama COVID-19 wujud di Malaysia, memudahkan rakyat dari pengendalian pesakit di hospital, yang kuarantin di rumah dan vaksinasi.

Selain itu, pengguna Twitter @NorashikinAA turut berkongsi pengalamannya ketika disahkan positif COVID-19 yang menerima panggilan telefon daripada KKM setiap hari bagi tujuan pemantauan kesihatan.

"Terima kasih KKM," katanya.

-- BERNAMA