KUALA LUMPUR: Dua pemimpin pembangkang pagi ini memberi keterangan kepada polis berhubung memorandum berkaitan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi setelah dipanggil bagi menjelaskan mengenai memorandum yang mereka terima daripada sekumpulan Pemuda PKR yang berarak ke Parlimen pada 20 Jan lalu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Datuk Maria Chin Abdullah tiba pada jam 9.21 pagi, disusuli Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil pada jam 9.41 pagi.

Kedua-dua mereka memasuki perkarangan IPD Dang Wangi pada jam 9.41 pagi, ditemani peguam Rajsurian Pillai dan Thai Suet Mei. 

Maria ketika ditemui pemberita sebelum memberi keterangan berkata, mereka dimaklumkan untuk hadir bagi direkodkan keterangan menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin lalu.

“Kami hanya dimaklumkan secara ringkas menerusi WhatsApp awal minggu ini,” katanya di sini hari ini. 

Kedua-dua Ahli Parlimen itu kemudiannya dilihat keluar dari perkarangan IPD Dang Wangi pada pukul 10.29 pagi. 

Sementara itu, peguam yang mewakili kedua-dua pemimpin itu, Rajsurian Pillai memberitahu, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 selain Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342).


BACA: Himpunan #TangkapAzamBaki beri kesan - Adam Adli

BACA: 19 dipanggil beri keterangan berkait Himpunan #TangkapAzamBaki

Semalam, Fahmi memaklumkan, kedua-dua mereka dipanggil polis untuk dirakam percakapan berhubung isu pemilikan saham membabitkan Azam.

Turut dipanggil ke IPD Dang Wangi, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik yang dijangka hadir esok.

Selain itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok juga dipanggil ke IPD Brickfields jam 3 petang ini bagi isu melibatkan Perhimpunan #TangkapAzamBaki pada Sabtu lalu.