KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk tidak berdiam diri berkait siasatan terhadap Tan Sri Azam Baki susulan kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) semalam.

Menerusi satu kenyataan, Gobind mempersoal sama ada SC telah merujuk kepada Idrus atau tidak sebelum membuat sebarang keputusan berkait Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

"Adakah SC merujuk hasil siasatan berkaitan kes Azam kepada Peguam Negara untuk pendapat beliau?

"Walaupun Seksyen 25(4) SICDA (Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991) membuat peruntukkan berkenaan akaun sekuriti, sebarang pelanggaran peruntukan didalam Akta itu boleh juga membawa kepada tindakan yang boleh membawa penalti.

"Kuasa untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan sebarang prosiding untuk kesalahan di negara ini terletak pada Peguam Negara," katanya.

BACA SEMUA BERHUBUNG AZAM BAKI DI SINI

BACA: SC tidak dapat tentukan Azam Baki langgar undang-undang

Jelasnya, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi Peguam Negara selepas melihat hasil siasatan, untuk memberi pandangan dan/atau mengarahkan siasatan lanjut dilakukan mengenai perkara itu.

Dalam satu kenyataan beberapa hari lalu, Gobind telah menimbulkan kebimbangan berkenaan kedudukan SPRM yang sedang menyiasat beberapa individu didalam SC.


Soalnya, sebarang siasatan dan hasil siasatan yang dibuat oleh SC adalah berpatutan atau tidak.

BACA: "Alhamdulillah, syukur" - Reaksi Azam Baki susulan keputusan Suruhanjaya Sekuriti

"Peguam Negara tidak boleh berdiam diri dalam perkara ini. Beliau harus, sebagai Pendakwa Raya, menjelaskan perkara ini.

"Adakah dia mengkaji hasil siasatan yang dilakukan oleh SC itu dan membuat sebarang keputusan berkaitannya?

"Jika dia tidak melakukannya, adakah SC mempunyai kuasa untuk "memutuskan" perkara itu seperti yang dilakukan tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu?" katanya.

SC dalam kenyataan semalam memaklumkan, pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang bawah Seksyen 25(4) SICDA berhubung isu pemilikan saham Azam sekali gus menamatkan inkuiri.

Azam dalam reaksi menzahirkan rasa syukur dan memberi komitmen untuk terus bertugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.